Pengiktirafan MSPO daripada EU berpotensi perluas jangkauan pasaran komoditi keluaran tempatan – DARE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengiktirafan MSPO daripada EU berpotensi perluas jangkauan pasaran komoditi keluaran tempatan – DARE

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac - Pengiktirafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) daripada Kesatuan Eropah (EU) membuka pintu kepada komoditi keluaran tempatan untuk dipamerkan di pentas antarabangsa yang lebih luas, kata Datametrics Research and Information Centre Sdn Bhd (DARE).

 

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, potensi pengiktirafan MSPO oleh EU akan mengelak pekebun kecil daripada terpinggir, dengan produk komoditi keluaran tempatan dikecualikan daripada audit tambahan, yang digariskan di bawah Peraturan Produk Bebas Penebangan hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

 

“Pengiktirafan MSPO sebagai skim pensijilan yang boleh dipercayai bukan sahaja memastikan pekebun kecil tidak terpinggir, malahan ia juga membuka pintu kepada komoditi keluaran tempatan untuk dipamerkan di pentas antarabangsa yang lebih luas. 

 

“Ia berpotensi untuk memperkukuh ekonomi Malaysia kita dengan meluaskan jangkauan pasaran dan menggalakkan amalan mampan,” ulas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selama beberapa dekad, minyak sawit telah menjadi asas pertumbuhan ekonomi, menyumbang dengan ketara kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara-negara pengeluar dan menyediakan peluang pekerjaan merentasi rantaian nilai.

 

 

Pankaj Kumar
Pankaj Kumar

 

 

“Kepelbagaian dan kecekapan minyak sawit dalam pengeluaran telah menjadikannya sebagai elemen penting dalam pelbagai sektor. Mendukung amalan mampan dalam pengeluaran minyak sawit bukan sekadar keperluan alam sekitar tetapi juga langkah ekonomi yang strategik,” tambahnya.

 

Menurut Pankaj, pengiktirafan berpotensi ini meletakkan industri minyak sawit Malaysia untuk memenuhi permintaan global dengan lebih berkesan sambil menggalakkan daya tahan ekonomi dan memastikan pengagihan manfaat yang saksama. 

 

Beliau menambah bahawa dengan peraturan yang betul dan amalan mampan, negara boleh menangani isu kritikal seperti kemerosotan tanah pertanian, sambil mengukuhkan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi.

 

DARE kekal optimistik mengenai kesan positif perkembangan ini dan menjangkakan pengiktirafan EU terhadap MSPO bukan sahaja akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam industri minyak sawit global tetapi juga memupuk pertumbuhan ekonomi dan kemampanan.

 

Pankaj mengulas perkara tersebut selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan bahawa Malaysia berada pada trajektori positif untuk mendapatkan pengiktirafan daripada EU untuk skim pensijilan MSPO.

 

Kepimpinan EU dijangka mengumumkan perkara tersebut selewat-lewatnya Jun tahun ini. - DagangNews.com