Penggunaan AI, keterjaminan makanan antara topik perbincangan PIPOC 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penggunaan AI, keterjaminan makanan antara topik perbincangan PIPOC 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2023 (PIPOC 2023) bakal membincangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kawalan proses kilang termaju bagi industri minyak sawit.

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, acara anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu juga akan menyediakan platform perbincangan pakar mengenai strategi, merangkumi penyepaduan teknologi terkini untuk amalan lestari, bagi menggalakkan pengurusan sisa yang menyeluruh dalam industri pengilangan dan pemprosesan minyak sawit.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, acara tersebut turut membincangkan aspek keterjaminan makanan, yang seterusnya membawa kepada tahap kualiti minyak, lemak dan produk makanan siap.

 

“Pakar juga akan membahaskan implikasi kesihatan berhubung penggunaan minyak makan yang berbeza sebagai sebahagian daripada diet harian kita dan hubung kaitnya dengan gaya hidup semasa,” katanya dalam kenyataan yang sama.

 

Di samping itu, kongres itu memberi tumpuan khusus kepada teknologi baharu dan produk oleokimia dengan nilai tambah tinggi.

 

Isu semasa seperti derivatif gliserol dan kepelbagaian oleokimia kepada pelekat dan bahan kimia berasaskan bio akan dibincangkan bagi mempertingkat industri oleokimia.

 

 

Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

 

 

Selain itu, ia bakal menjadi platform untuk meneroka penggunaan nilai tambah derivatif daripada biojisim sawit dalam pengeluaran papan gentian berketumpatan sederhana (MDF) mesra alam dan nanoselulosa, yang boleh berfungsi sebagai bahan lestari untuk pelbagai kegunaan.

 

Bagi mencapai matlamat tersebut, ia menampilkan pakar yang akan berkongsi pandangan mengenai teknologi terkini dalam penukaran biojisim sawit kepada produk khusus daripada arang kepada produk karbon termaju.

 

“PIPOC 2023 juga bermatlamat mendalami tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan pelepasan karbon.

 

“Pakar akan membincangkan pelbagai hasil sampingan sawit daripada aktiviti pengilangan dan perladangan yang berpotensi sebagai sumber produk hijau atau tenaga untuk menyah karbon industri berasaskan fosil.

 

“Ini juga termasuk biodiesel, biofuel generasi kedua dan bahan api penerbangan serta prospek masa depan bahan-bahan tersebut,” tambah Ahmad Parveez.

 

Bertemakan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’, PIPOC 2023, yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 9 November 2023, dijangka menghimpunkan lebih 100 penceramah dan 2,000 peserta dari seluruh dunia.

 

Kongres itu akan melibatkan empat persidangan serentak iaitu Persidangan Pertanian, Bioteknologi & Kelestarian; Persidangan Pemprosesan, Keterjaminan Makanan & Pemakanan; Persidangan Hiliran dan Penambahan Nilai, dan Persidangan Ekonomi & Pemasaran Global.

 

PIPOC 2023 juga menganjurkan lawatan teknikal ke ladang sawit, kilang minyak sawit, serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan untuk peserta, manakala lebih 400 reruai akan mempamerkan teknologi terkini, produk dan perkhidmatan terbaru di kongres itu.  - DagangNews.com