KUALA LUMPUR 15 Mac - Pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat 0.9% manakala gas asli pulih semula kepada 4.7% pada suku keempat 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat kepada 0.9% tahun ke tahun kepada 49.1 juta tong pada suku keempat 2023.
Beliau berkata, kenaikan itu disokong oleh lonjakan 23.8% dalam kondensat selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 16.2% pada suku sebelumnya.
Dari segi komposisi katanya, minyak mentah menyumbang yang tertinggi iaitu pada 70.4% atau bersamaan dengan 34.6 juta tong, manakala kondensat merangkumi 29.6% atau 14.5 juta tong.
"Sementara itu, gas asli pulih semula kepada 4.7% daripada negatif 2.1% pada suku sebelumnya, merekodkan nilai pengeluaran sebanyak 774.2 bilion kaki padu pada suku ini.
"Berbanding dengan suku sebelumnya, pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat 7%, disokong oleh kondensat pada 13.3% dan gas asli sebanyak 14.2%," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata, harga minyak mentah dan kondensat pada suku keempat 2023, menunjukkan penurunan pada harga purata 'lifting' berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat kepada AS$88.5 per tong.

Sementara itu katanya, harga per tong WTI dan Brent masing-masing mencatatkan AS$78.4 dan AS$83.7.
"Nilai eksport Petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM9.3 bilion pada suku keempat 2023. Thailand merupakan destinasi eksport utama dengan nilai sebanyak dengan RM2.5 bilion (26.3%), diikuti Australia (17.7%) dan Brunei Darussalam (16.3%).
"Sementara itu, nilai eksport keluaran petroleum bertapis berjumlah RM33.7 bilion dengan RM7.8 bilion atau 23.2% dieksport ke Singapura, diikuti Indonesia (15%) dan Australia (12.8%). Nilai eksport LNG mencapai RM16.6 bilion pada suku ini dengan RM6.9 bilion (43.1%) dieksport ke Jepun, diikuti China (25.9%) dan Republik Korea (22.4%).
"Nilai import petroleum mentah dan kondensat berjumlah RM18.1 bilion pada suku ini. Lebih separuh atau 51.1% diimport dari Arab Saudi dengan nilai sebanyak RM9.3 bilion, diikuti Emiriah Arab Bersatu (18.9%) dan Amerika Syarikat (5.3%)," katanya.
Beliau berkata, import keluaran petroleum bertapis juga mencatat peningkatan pada suku ini, mencapai nilai RM35.4 bilion. Nilai import tertinggi sebanyak RM11.2 bilion atau 31.7% adalah dari Singapura, diikuti oleh Republik Korea (11.8%) dan China (10.9%).
Bagi LNG katanya, nilai import adalah sebanyak RM1.7 bilion pada suku keempat 2023 (ST3 2023: RM1.6 bilion), diimport sepenuhnya dari Australia.
Beliau berkata, prestasi keseluruhan pada tahun 2023, pengeluaran minyak mentah dan kondensat menyusut sedikit 0.1% dengan jumlah keseluruhan sebanyak 188.8 juta tong.
Penurunan pengeluaran tahunan tersebut dipengaruhi penyusutan 6.1% dalam minyak mentah, yang telah menunjukkan trend penurunan sejak 2017.
"Sebaliknya, pengeluaran kondensat meningkat pada kadar yang lebih laju iaitu 19.5%, sekali gus mengimbangi penurunan pengeluaran minyak mentah pada tahun tersebut. Dari segi komposisi, minyak mentah merangkumi 72% atau 136 juta tong, manakala 28% disumbangkan oleh kondensat dengan nilai pengeluaran sebanyak 52.8 juta tong," katanya.
Sementara itu katanya, pengeluaran gas asli turun marginal kepada negatif 0.03% dengan nilai sebanyak 2,862 bilion kaki padu pada 2023.
Harga minyak mentah WALP menurun kepada AS$86.1 per tong pada 2023 daripada AS$106.2 per tong yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Begitu juga, harga minyak WTI dan Brent per tong masing-masing jatuh kepada AS$77.6 dan AS$82.5. - DagangNews.com








