Pengeluaran getah asli Malaysia turun 4.5% pada Julai 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia turun 4.5% pada Julai 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept - Pengeluaran getah asli menurun sebanyak 4.5% kepada 28,533 tan metrik pada Julai 2023 berbanding 29,867 tan metrik pada Jun 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan 24.6% berbanding 37,843 tan metrik pada Julai 2022.

 

Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia pada Julai 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (82.5%) berbanding sektor estet (17.5%).

 

"Jumlah stok getah asli pada Julai 2023 menurun 9.9% kepada 143,840 tan metrik berbanding 159,718 tan metrik pada Jun 2023. 

 

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 87.9% diikuti kilang pengguna getah (11.9%) dan estet getah (0.2%)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 51,785 tan metrik pada Julai 2023 meningkat 6% berbanding 48,848 tan metrik pada Jun 2023.

 

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 42.8% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2023 diikuti Jerman (9.5%), Pakistan (4.4%), Amerika Syarikat (3.3%) dan Brazil (2.2%). 

 

 

dosm

 

 

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. 

 

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.95 bilion pada Julai 2023, menurun 0.6% berbanding Jun 2023 (RM0.96 billion).

 

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 1.5% kepada 490.18 sen sekilogram pada Julai 2023 berbanding 497.70 sen sekilogram pada Jun 2023.

 

Manakala sekerap menurun 2.2% kepada  471.14 sen sekilogram pada Julai 2023 berbanding 481.91 sen sekilogram pada Jun 2023.

 

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 1.5% hingga 2.3%. - DagangNews.com