Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 4.7% pada September 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 4.7% pada September 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Pengeluaran getah asli meningkat 4.7% pada September 2023 kepada 32,773 tan metrik berbanding 31,309 tan metrik pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 7.6% kepada 35,460 tan metrik pada September 2022.

 

Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia pada September 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (85.6%) berbanding sektor estet (14.4%).

 

"Jumlah stok getah asli pada September 2023 meningkat 7.7% kepada 154,103 tan metrik berbanding 143,116 tan metrik pada Ogos 2023. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.4% diikuti kilang pengguna getah (11.5%) dan estet getah (0.1%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 57,028 tan metrik pada September 2023, menurun 0.8% berbanding 57,488 tan metrik pada Ogos 2023.

 

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 2.1% (September 2023: 481.08 sen sekilogram; Ogos 2023: 471.09 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat 13.8% (September 2023: 525.59 sen sekilogram; Ogos 2023: 462.05 sen sekilogram). 

 

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula meningkat antara 2.1% hingga 11.3 peratus. The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 9.7% (daripada USD 1.29/kg kepada USD1.42/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 5.8% (daripada AS$1.47/kg kepada AS$11.55/kg).

 

 

getah

 

q

Prestasi suku ketiga 2023 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 19.6% kepada 92,615 tan metrik berbanding 77,453 tan metrik pada suku kedua 2023. 

 

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku ketiga 2023 pula mencatatkan penyusutan 16.5% berbanding suku ketiga 2022 (110,969 tan metrik).

 

Menurut laporan Malaysia Rubber Board Digest pada September 2023, sentimen pasaran getah disokong oleh peningkatan semula aktiviti perkilangan di China, kemungkinan gangguan getah asli di Thailand, jangkaan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan ringgit Malaysia kekal lemah berbanding dolar AS.- DagangNews.com