Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 0.6% pada Oktober 2023 – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 0.6% pada Oktober 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 0.6% kepada 32,944 tan pada Oktober 2023 berbanding 32,757 tan pada September 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 3.6% daripada 31,795 tan pada Oktober tahun lepas. 

 

Beliau berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (84.2%) berbanding sektor estet (15.8%). 

 

"Jumlah stok getah asli pada Oktober 2023 menurun 0.4% kepada 152,396 tan berbanding 153,011 tan  pada September 2023. 

 

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7% diikuti kilang pengguna getah (11.2%) dan estet getah (0.1%)," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

dosm

 

 

Mohd Uzir berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 56,460 tan pada Oktober 2023, menurun 1% berbanding 57,028 tan bulan sebelumnya.

 

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 58.9% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2023 diikuti Jerman (8.5%), Iran (3.5%), Portugal (2%) dan Türkiye (1.8%). 

 

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

 

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1 bilion pada Oktober 2023, menurun 2% berbanding RM1.02 billion bagi September 2023," tambahnya.

 

Sementara itu, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan 10.6% kepada 532.20 sen sekilogram, berbanding 481.08 sen sekilogram bagi bulan sebelumnya.

 

Manakala sekerap meningkat 4.4% kepada 548.84 sen sekilogram daripada 525.59 sen sekilogram sebelumnya. 

 

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 3.2% hingga 10.5%. 

 

Memetik The World Bank Commodity Price Data, DOSM berkata harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 2.1% kepada AS$1.45 sekilogram daripada AS$1.42 sekilogram dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 3.4% kepada AS$1.61 sekilogram daripada AS$1.55 sekilogram.

 

Menurut laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Oktober 2023, pasaran getah Kuala Lumpur secara amnya, bercampur-campur dengan harga SMR 20 dan lateks pekat bergerak dalam momentum meningkat, disokong oleh pasaran asas yang menggalakkan terutama kekurangan bekalan getah disebabkan cuaca lembab di kebanyakan negara pengeluar getah.  - DagangNews.com