ICPT: Maybank IB saran pegang saham Tenaga Nasional dengan harga sasaran RM10 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ICPT: Maybank IB saran pegang saham Tenaga Nasional dengan harga sasaran RM10 sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jan - Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas Tenaga Nasional Berhad dengan harga sasaran (TP) RM10 sesaham, berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) dengan andaian kos purata wajaran modal (WACC) 8.3% dan pertumbuhan jangka panjang 1%.

 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma penyelidikan tersebut berkata, tesis pelaburan TNB bergantung kepada peranannya dalam peralihan RE Malaysia.

 

Kejelasan mengenai capex grid berkaitan RE tidak mungkin tersedia sehingga Rolling Plan keempat (RP4) (2025-2027) bermula, pada pandangan kami,” tambahnya.

 

Bagi sektor utiliti, firma itu lebih menyukai Mega First Corporation Bhd, yang setakat pukul 12 tengahari ini didagangkan pada RM3.78 dengan TP RM4.30 sesaham.

 

Setakat 12 tengahari ini, saham TNB telah menokok 24 sen atau 2.4% kepada RM10.30 dengan permodalan pasarannya bernilai RM59.6 bilion.

 

 

st

 

 

Pengekalan pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) TNB bagi separuh pertama tahun kewangan 2024 (1H24) menandakan kemajuan subsidi bersasar selanjutnya dan pengurangan kebimbangan terhadap mekanisme tersebut.

 

Maybank IB berkata tarif elektrik kebanyakannya dikekalkan, dengan satu-satunya perubahan adalah penyingkiran rebat 2 sen setiap kilowatt jam (kWj) untuk pengguna isi rumah yang menggunakan 600 kWj hingga 1,500kWj sebulan, yang menjejas kira-kira 15% isi rumah.

 

Isi rumah yang menggunakan kurang daripada 600kWj sebulan terus menikmati rebat tarif 2 sen/kWj, manakala surcaj 10 sen/kWj kekal untuk isi rumah yang menggunakan lebih 1,500kWj/bulan.

 

Surcaj semasa 3.7 sen/kWj dikekalkan untuk komersial bervoltan rendah, pengguna industri dan pertanian voltan rendah, dan pengendali air atau sanitasi, manakala surcaj untuk semua pengguna bukan domestik lain kekal pada 17 sen/kWj.

 

Meskipun sebahagian besar tumpuan adalah pada perbelanjaan modal (capex) grid dan eksport tenaga boleh diperbaharui (RE), Maybank IB berkata syarikat utiliti terbabit telah melancarkan projek penjanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

“Bagi solar terapung hidro hibrid (potensi kapasiti sekitar 2,500 megawatt [MW] menjelang 2040), TNB sudah menutup tender antarabangsa untuk kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pada awal Disember 2023 melibatkan 30MW pertama (di takungan Chenderoh di Perak) dan kini sedang menilai bidaan.

 

“Mengenai taman solar berskala besar (5 x 100MW), ia telah mengumumkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Majuperak Holdings milik kerajaan negeri pada November 2023 untuk sebuah taman itu di Perak,” katanya.- DagangNews.com