Pengecualian visa Malaysia-China jadi pemangkin utama MAHB, kata CGS-CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengecualian visa Malaysia-China jadi pemangkin utama MAHB, kata CGS-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Pengecualian visa diumumkan oleh kerajaan Malaysia dan China akan menjadi pemangkin utama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selepas ia menyaksikan tempat duduk syarikat penerbangan antara kedua-dua negara itu berkurangan separuh sejak 2019, menurut CGS-CIMB Securities.

 

"Pengumuman oleh kerajaan China dan Malaysia sangat positif untuk pemulihan trafik penumpang MAHB dan kami menjangkakan ini diterima dengan baik oleh pelabur. Thailand telah melancarkan program bebas visa unilateral untuk pelawat China selama enam bulan antara 25 September 2023 dan 29 Februari 2024, tanpa timbal balik dari China.

 

“Sebagai perbandingan, kami menjangkakan pengaturan timbal balik antara China dan Malaysia bakal mencetuskan minat yang besar untuk perjalanan bersama," kata firma itu dalam nota penyelidikan.

 

Pada 24 November 2023, kerajaan China mengumumkan bahawa ia akan membenarkan warganegara Malaysia masuk 15 hari tanpa visa dari 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024 secara percubaan untuk perniagaan, pelancongan, melawat saudara-mara dan rakan-rakan (VFR) serta bagi tujuan transit.

 

Sebagai timbal balik, pada 26 November 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kemasukan 30 hari tanpa visa untuk pelawat dari China berkuat kuasa 1 Disember 2023.

 

Menurut firma penyelidikan itu, tempat duduk syarikat penerbangan antara Malaysia dan China pada minggu lepas hanya 55% daripada minggu yang sama pada 2019 (berbanding 78% untuk Indonesia, 79% untuk India, 85% untuk Thailand dan 89% untuk Singapura) mencadangkan banyak skop untuk perjalanan ke/dari China untuk pulih.

 

Perjalanan antara Malaysia dan China merangkumi 11.2% daripada jumlah penumpang antarabangsa MAHB di Malaysia pada 2019, kedua di belakang Indonesia (yang membentuk 18.4% daripada yang sama), tetapi lebih daripada Singapura (9.5%), Thailand (9.4% ), dan India (8.1%).

 

Selain China, Anwar turut mengumumkan kemasukan 30 hari tanpa visa untuk pelawat dari India, dan negara terpilih dari Timur Tengah (Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Iran, Türkiye dan Jordan).

 

CGS-CIMB berpendapat bahawa pengecualian visa Malaysia untuk India juga menangani pasaran sumber serantau utama untuk pelawat.

 

Sementara itu, pengembara Timur Tengah yang diberikan pengecualian visa oleh Malaysia merangkumi hanya kira-kira 3.5% daripada pax antarabangsa pada 2019, tidak termasuk jemaah umrah/Haji ke Arab Saudi yang membentuk 2.5% lagi.

 

"Namun, kami mengalu-alukan setiap sedikit insentif untuk pelancong datang ke Malaysia," tambahnya sambil mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM7.76 sesaham.

 

CGS-CIMB berkata risiko negatif terhadap penarafan MAHB termasuk kemungkinan kelewatan dalam menandatangani perjanjian pemerataan baharu, yang dijangka ditandatangani bulan depan, dan kelewatan dalam pewartaan tarif penerbangan baharu oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). 

 

Pada rehat tengh hari, saham MAHB telah menokok 2 sen atau 0.3% kepada RM7.32 dengan permodalan pasaran sebanyak RM12.2 bilion. - DagangNews.com