KUALA LUMPUR 26 April - Cadangan pengambilalihan Ladang Permai Damai membolehkan Fraser and Neave Holdings Bhd. (F&N) menceburi perniagaan susu segar huluan bagi pengeluaran hiliran dan pengedaran susu segar.
Berikutan perkembangan positif ini, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap F&N dengan harga sasaran (TP) pada RM30.03 sesaham.
Firma itu berpendapat, pengambilalihan tersebut pada nilai RM215.59 juta akan memberi pertambahan nilai kepada kumpulan.
Ini kerana katanya, Ladang Permai Damai adalah sesuai untuk melaksanakan projek penternakan susu bersepadu kumpulan dan mempunyai nilai pasaran yang positif berjumlah RM224.2 juta bagi aset.
"Selain itu, kami juga mendapati Ladang Permai Damai tidak mempunyai hutang atau liabiti tertunggak.
"Kami menganggarkan cadangan pengambilalihan ini tidak memberi kesan ketara terhadap nisbah penggearan kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : F&N ambil alih ladang kelapa sawit Permai Damai bernilai RM215.59 juta
Semalam, subsidiari 65% tidak langsung F&N, Dagang Sejahtera Sdn. Bhd. (DSSB) membeli kesemua saham dalam Ladang Permai Damai pada harga RM215.59 juta tunai.
Berikutan cadangan pengambilalihan itu, DSSB telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan Dupont and Leosk Enterprises Sdn Bhd dan Malaysia Nominees (Tempatan) Sdn Bhd.
Dupont and Leosk adalah pemilik benefisial 25 juta saham atau saham jualan, masing-masing bernilai RM1 di Ladang Permai Damai manakala Malaysia Nominees adalah pemilik berdaftar saham jualan dan syarikat penama OCBC Bank (Malaysia) Bhd.
Secara dasarnya, Ladang Permai Damai terlibat dalam penanaman kelapa sawit, pemprosesan tandan buah segar, pemasaran minyak sawit mentah, isirong sawit dan tandan buah segar.
Setakat 10.10 pagi, harga saham F&N menokok 54 sen atau 2.5% kepada RM22.16 dengan 18,200 saham diniagakan. - DagangNews.com








