Penerima faedah Yayasan Peneraju catat pencapaian terbaik dunia dalam peperiksaan ACCA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penerima faedah Yayasan Peneraju catat pencapaian terbaik dunia dalam peperiksaan ACCA

Mohamad Amirol Mohd Asri muncul sebagai ACCA Top Affiliate, menduduki tempat ketiga di Malaysia dan ke-22 di dunia bagi peperiksaan Mac 2022, manakala Ain Nurkhairina Khairuddin menduduki tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Financial Management (FM) dan Financial Reporting (FR).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei - Penerima faedah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) sekali lagi mencatatkan pencapaian terbaik dunia dan Malaysia dalam peperiksaan ACCA Foundation in Accountancy (ACCA FIA) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), baru-baru ini.

 

Mohamad Amirol Mohd Asri, 22, pelajar tajaan bersama Yayasan Peneraju dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) muncul sebagai ACCA Top Affiliate, menduduki tempat ketiga di Malaysia dan ke-22 di  dunia bagi peperiksaan Mac 2022. 

 

Amirol merupakan penerima faedah keempat tajaan Yayasan Peneraju yang dianugerahkan ACCA Malaysia Top Affiliate sejak bermulanya program pembiayaan perakaunan profesional pada 2012.

 

“Yayasan Peneraju, PNB, INTEC, pensyarah, keluarga dan rakan-rakan sangat menyokong perjalanan ACCA saya dan menjadi pendorong kepada kejayaan saya. 

 

"Saya berasa gembira dan berbangga dengan diri sendiri kerana saya berpegang kepada kata-kata, jangan berhenti mencuba, jangan berhenti percaya dan jangan putus asa kerana hari anda akan tiba”, kata Amirol dalam satu kenyataan.

 

Penerima faedah lain yang mencatatkan pencapaian terbaik peperiksaan ACCA termasuk Ain Nurkhairina Khairuddin, 22, dan Said Ramdan, 20, yang mana masing-masing menduduki tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Financial Management (FM) dan Financial Reporting (FR) dengan memperoleh 95 markah.

 

Sementara itu, bagi peperiksaan ACCA FIA, Muhammad Iqbal Hanif Mohd Tarmizi, 19, menduduki tempat pertama di Malaysia dan di dunia bagi kertas Maintaining Financial Records (FA2) dengan memperoleh 100 markah.

 

 

peneraju
Muhammad Iqbal Hanif Mohd Tarmizi

 

 

peneraju
Said Ramdan

 

 

Dalam inisiatif Yayasan Peneraju yang memfokuskan kepada pembinaan dan pengukuhan keupayaan bakat Bumiputera ke arah kelestarian yang lebih mampan, Yayasan Peneraju setakat ini telah melahirkan empat ACCA Malaysia Top Affiliate dan 77 Prize Winners. 

 

Ini menjadikan Yayasan Peneraju sebagai salah satu badan penaja terbesar yang melahirkan penerima anugerah, CAT, ACCA FIA dan ACCA di peringkat Malaysia dan dunia dan jumlahnya diramal akan terus meningkat dalam beberapa bulan dan tahun akan datang. - DagangNews.com