Pendapatan SLP Resources diunjur berdepan tekanan akibat kelemahan Yen Jepun - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan SLP Resources diunjur berdepan tekanan akibat kelemahan Yen Jepun - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) mengunjurkan pendapatan SLP Resources Berhad terus berdepan tekanan akibat mata wang Yen Jepun semakin lemah dan sekali gus mengganggu pasaran eksport mereka.

 

Firma itu berkata, selain kelemahan mata wang, inflasi yang lebih tinggi menjejaskan sentimen pengguna dan menghakis kuasa beli isi rumah.

 

"Jepun menyumbang RM57.2 juta atau 30.8% kepada jumlah hasil kumpulan pada FY22.

 

"Setakat ini, Yen Jepun telah melemah kira-kira 10% berbanding Dolar AS.

 

"Di samping itu, harga jualan purata (ASP) terus menghadapi tekanan menurun di tengah-tengah persaingan sengit dan kos resin yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Yen Jepun yang semakin lemah memburukkan lagi tekanan inflasi dengan menaikkan kos barangan import.

 

Katanya, susut nilai mata wang yang berpanjangan dan inflasi yang lebih tinggi membawa kepada pengurangan perbelanjaan pengguna dan perniagaan, mengurangkan prospek eksport kumpulan dalam proses itu.

 

Firma itu berkata, walaupun kos bahan mentah dan logistik berkurangan, lebihan bekalan dan permintaan luar yang lemah kekal berleluasa disebabkan oleh ekonomi global yang perlahan dan kekurangan pemangkin pasaran untuk merangsang pertumbuhan permintaan.

 

"Isu kekurangan buruh semakin reda manakala produk pembungkusan fleksibel premium kumpulan semakin mendapat perhatian," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP)  73 sen sesaham. - DagangNews.com