KUALA LUMPUR 22 Mei - RHB Investment menurunkan unjuran pendapatan Sarawak Oil Palms Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 22 hingga 25%.
Pelarasan itu adalah bagi mengambil kira penurunan hasil buah tandan segar (BTS), harga isirung kelapa sawit yang lebih rendah, peningkatan perbelanjaan faedah dan kos unit.
Firma itu turut menurunkan taraf kumpulan kepada ‘jual’ daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM2.00 sesaham.
Menurut firma penyelidikan itu, pendapatan pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) hanya merangkumi 15 hingga 17% daripada anggaran firma dan Street bagi FY23 disebabkan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kemerosotan pengeluaran BTS.
Walaupun kumpulan itu bertambah baik, peningkatan pengeluaran BTS sebanyak 2.8% YoY adalah di bawah jangkaan 6.3% YoY firma dan 7 hingga 8% daripada panduan pengurusan bagi FY23.
“Kumpulan itu sepatutnya mencatatkan pendapatan lebih kukuh pada separuh kedua disebabkan pengeluaran telah bertambah baik dan kos menyederhana, namun Sarawak Oil Palms kini terlebih nilai, didagangkan pada 8.8 kali FY23 P/E berbanding julat 6 hingga 8 kali rakan setara,” katanya dalam nota hari ini.
Firma itu juga mengurangkan ramalan pertumbuhan BTS FY23 kepada 3.6% namun mengekalkan BTS bagi FY24F-25, sementara pengurusan telah mengekalkan panduan pengeluaran BTS FY23 sebanyak 7 hingga 8%.
Di samping itu, RHB Investment percaya kos unit 1Q23 telah meningkat YoY disebabkan kos baja yang lebih tinggi, di mana kumpulan itu membawa ke hadapan bekalan baja yang tidak digunakan dari 2022 hingga 1Q23, mendorong kos operasi meningkat.
“Kami menjangkakan kos unit akan lebih rendah pada suku akan datang bagi mencerminkan harga baja yang telah menyusut 35% YoY. Kumpulan itu telah menggunakan 15 hingga 20% daripada keperluan baja FY23 pada 1Q23,” tambahnya.
Firma itu meningkatkan andaian kos FY23 sebanyak 7% untuk mencerminkan prestasi 1Q23 dengan lebih baik.
Manakala bagi segmen hiliran, RHB Investment berkata pihak pengurusan telah menyatakan bahawa prestasi daripada segmen ini akan menjadi lebih lemah YoY disebabkan harga produk sampingan merosot manakala volum dijangka kekal tidak berubah.
“Tambahan pula, levi eksport Indonesia yang kembali semula akan menyebabkan persaingan meningkat kerana pemain hiliran Indonesia akan mendapat kelebihan memandangkan struktur cukai yang menguntungkan,” jelasnya. -DagangNews.com








