KUALA LUMPUR 27 Mei - Jumlah pesanan yang tinggi daripada hospital kerajaan antara penyumbang utama kepada peningkatan pendapatan Pharmaniaga pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24).
Syarikat berstatus PN17 itu merekodkan pendapatan RM965.0 juta pada 1QFY24, meningkat sebanyak 9.6% berbanding suku sama setahun sebelumnya.
"Kenaikan pendapatan untuk segmen konsesi terutamanya disumbangkan oleh jumlah pesanan yang lebih tinggi oleh hospital-hospital kerajaan, penambahan produk baru kepada Senarai Harga Produk Yang Diluluskan, dan penyesuaian harga dalam kitaran konsesi baru disebabkan oleh kos pembekal yang meningkat," katanya.
Pada 1QFY24, Pharmaniaga mencatatkan untung bersih RM25.64 juta, peningkatan berbanding 1QFY23 yang berjumlah RM2.62 juta.
Menurut Pharmaniaga, Bahagian Logistik dan Pengedaran mencatatkan untung sebelum cukai (PBT) yang lebih tinggi sebanyak RM28.0 juta untuk tempoh yang dikaji, berbanding dengan RM8.8 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Pertumbuhan pendapatan bagi segmen konsesi itu terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah pesanan daripada hospital kerajaan, penambahan produk baru ke Senarai Harga Produk Yang Diluluskan, dan penyesuaian harga di bawah kitaran konsesi baru yang disebabkan oleh kos pembekal yang meningkat.
"Selain itu, langkah-langkah mengoptimumkan kos termasuk penghentian perniagaan bukan utama dan tidak memberikan prestasi serta perbelanjaan pengiklanan dan promosi yang lebih rendah, menyumbang kepada peningkatan keuntungan Bahagian tersebut," jelasnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pharmaniaga berkata, selain pemintaan dalam segmen konsesi, segmen Indonesia juga mencatatkan pertumbuhan.
"Bagi segmen Indonesia, pertumbuhan pendapatan adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan untuk produk-produk prinsipal sedia ada dan penjualan tambahan yang dihasilkan daripada pembukaan dua cawangan baru pada Februari 2024," katanya.- DagangNews.com








