KUALA LUMPUR 6 Nov - Pendapatan Petronas Chemicals Group Bhd pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) dijangka lebih lemah susulan penutupan loji tidak dirancang dan penurunan harga produk.
Oleh itu, TA Securities menurunkan andaian kadar penggunaan untuk segmen baja dan metanol (F&M) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) kepada 85% (sebelum ini 90%) dan mengurangkan andaian purata harga jualan (ASP) untuk FY23-FY25.
“Berikutan perubahan ini, kami mengurangkan unjuran pendapatan FY23,FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 11%, 8.1% dan 0.6%.
“Berikutan pelarasan unjuran pendapatan, kami menurunkan harga sasaran kepada RM7.55 sesaham (sebelumnya: RM7.77 sesaham) yang ditambat kepada EV/EBITDA (nisbah nilai perusahaan kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) 2024 sebanyak 9 kali,” kata firma penyelidikan itu sambil mengekalkan saranan ‘pegang’.
Menurut firma itu, loji metanol kumpulan itu mengalami kegagalan mekanikal dan terpaksa ditutup selama kira-kira satu bulan pada 3QFY23 yang mengheret kadar penggunaan setahun menurun bawah 90%.
Sementara itu, katanya, perubahan harga produk adalah bercampur-baur bagi suku ke suku namun lebih kepada menurun.
Mengulas mengenai loji Pengerang, TA Securities berkata ia terus mengalami kerugian tetapi dijangka kerugian mengecil pada suku akan datang apabila pengeluaran meningkat dan dijangka beroperasi secara komersial hanya tahun depan.
Firma itu berkata kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) loji Pengerang pada 2QFY23 mengecil kepada RM70 juta daripada RM100juta pada 1QFY23.
“Bagaimanapun, kami percaya pendapatan Petronas Chemicals akan bertambah baik pada FY24 berikutan i) pemulihan ASP apabila permintaan dan ekonomi pulih; ii) pentauliahan loji petrokimia Pengerang, yang akan bertukar kepada EBITDA daripada LBITDA iii) peningkatan kadar penggunaan keseluruhan,” tambahnya.
Setakat pukul 11:28 pagi ini, saham Petronas Chemicals menokok 14 sen atau 2% kepada RM7.33 dengan permodalan pasaran sebanyak RM58.6 bilion. - DagangNews.com








