Pendapatan Hibiscus Petroleum dijangka bertambah selepas henti bayar SST kepada Kerajaan Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Hibiscus Petroleum dijangka bertambah selepas henti bayar SST kepada Kerajaan Sabah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - AmInvestment Bank Research menjangkakan pendapatan Hibiscus Petroleum pada 4QFY22 akan meningkat ketara dengan tambahan penghantaran dari Sabah Utara dan sumbangan penuh daripada aset Repsol Oil & Gas M Ltd.

 

Firma itu berkata, pertambahan pendapatan itu juga disokong oleh tindakan Hibiscus yang memutuskan untuk menghentikan bayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 5% kepada Kerajaan Sabah bagi penjualan minyak yang dihasilkan daripada kontrak perkongsian pengeluaran Kinabalu Oil (PSC), sebuah konsesi yang dimiliki Repsol.

 

Katanya, penghentian pembayaran SST itu akan bermula daripada penarikan 350,236 tong minyak mentah yang berkuat kuasa pada 24 Mei 2022.

 

"Langkah Hibiscus itu adalah kerana penjualan minyak mentah berlaku di dalam Wilayah Persekutuan Labuan, yang berada di luar bidang kuasa Sabah.

 

"Hibiscus memiliki pegangan 50% dalam PSC Sabah Utara dan mereka tidak pernah membayar SST untuk penghasilan minyak mentah namun Kerajaan Sabah untuk mengenakan cukai jualan kepada produk petroleum bermula 2020," katanya dalam satu kenyataan.

 

Firma itu berkata, dengan andaian harga minyak mentah AS$100 (RM439.60) setong dengan pengeluaran 1.2 juta tong daripada Kinabalu PSC, Hibiscus akan mencatatkan peningkatan 1% bagi perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi FY23F dan untung bersih teras daripada penghentian pembayaran SST.

 

Bagaimanapun, firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan dan nilai saksama kumpulan itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Hibiscus Petroleum dengan harga wajar (FV) RM1.42," katanya. - DagangNews.com