Pendapatan Axis REIT dijangka lebih kukuh dalam 2HFY23 didorong sumbangan Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Axis REIT dijangka lebih kukuh dalam 2HFY23 didorong sumbangan Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Pendapatan Axis REIT dijangka lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) didorong oleh sumbangan daripada Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 (BRDC 2), kata MIDF Research.

 

Susulan keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) semalam, firma penyelidikan itu berkata unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ Axis REIT dikekalkan dengan harga sasaran (TP) pada RM2.06 seunit.

 

Jelasnya, ia kekal positif terhadap kestabilan prospek syarikat tersebut untuk ruang perindustrian yang dijangka berkembang.

 

“Selain itu, kami melihat pendapatan yang lebih kukuh pada 2HFY23 disebabkan oleh permulaan pajakan daripada Pusat Pengedaran Bukit Raja 2,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sijil Penyiapan Praktikal (CPC) untuk aset BRDC 2 telah diperoleh baru-baru ini dan Axis REIT menjangkakan untuk memperoleh Sijil Pematuhan dan Penyiapan (CCC) pada Ogos 2023 untuk diserahkan kepada pemajak, SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd.

 

Pajakan untuk aset tersebut dijadualkan bermula pada Ogos 2023 dan menyumbang kepada pendapatan sewa pada 2HFY23.

 

Mengulas tentang pendapatan Axis REIT dalam tempoh separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), firma itu menganggapnya dalam jangkaan.

 

“Pendapatan bersih teras 1HFY23 sebanyak RM66.3 juta berada di bawah jangkaan konsensus tetapi dianggap dalam anggaran kami walaupun hanya membentuk 42% daripada ramalan tahun penuh kerana kami menjangkakan pendapatan lebih kukuh pada 2HFY23,” jelasnya.

 

Firma itu berkata pendapatan bersih teras syarikat itu menurun 21% tahun ke tahun (YoY) pada 2QFY23, menjadikan pendapatan terkumpul 1HFY23 kepada RM66.3 juta, susut 19% YoY akibat perbelanjaan hartanah dan kos pembiayaan Islam yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, pendapatan sewa lebih rendah mencatat penurunan 2.4% suku ke suku (QoQ) disebabkan penamatan perjanjian pajakan dengan Yongnam Engineering Sdn Bhd, pemajak Axis Steel Centre @ SiLC di Johor.

Sementara itu, pendapatan seunit (EPU) merekodkan penurunan disebabkan kesan pencairan daripada penempatan persendirian yang telah muktamad pada Januari 2023.

 

Pada waktu penulisan, saham Axis REIT menokok 1 sen atau 0.6% kepada RM1.84 dengan modal pasaran bernilai RM3.2 bilion. - DagangNews.com