Penasihat Kerajaan Oman, Kemal Rizardi Arbi dilantik sebagai ahli lembaga pengarah baharu Suruhanjaya Sekuriti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penasihat Kerajaan Oman, Kemal Rizardi Arbi dilantik sebagai ahli lembaga pengarah baharu Suruhanjaya Sekuriti

Kemal Rizadi Arbi
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengalu-alukan pelantikan Kemal Rizadi Arbi sebagai ahli lembaga pengarah baharunya untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 15 Januari 2024.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, lembaga pengarah bertanggungjawab ke atas keseluruhan tadbir urus SC dan mempunyai pengawasan terhadap mandat kawal selia dan pembangunannya. 

 

 "Sebagai pengamal kewangan dan pasaran modal yang berpengalaman di Timur Tengah dan Malaysia, Kemal membawa bersamanya pengalaman yang luas dalam pelbagai sektor.

 

"Pelantikan beliau akan memberi sumbangan besar kepada Lembaga Pengarah SC dalam memberi bimbingan dan pengawasan dalam usaha melindungi pelabur dan mengekalkan pasaran yang teratur dan telus," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

SC memaklumkan, Kemal, seorang profesional perkhidmatan kewangan dan korporat dengan lebih tiga dekad pengalaman global, menyumbang kepada fungsi lembaga SC melalui pengetahuan mendalamnya tentang penggubalan dasar, pasaran modal Islam, industri kewangan dan pelaburan serta fintech.

 

Katanya, beliau kini merupakan penasihat dengan kerajaan Oman dan berkhidmat dengan Presiden Eksekutif dan Pejabat Naib Presiden di Pihak Berkuasa Pasaran Modal Kesultanan Oman sejak 2013.

 

Sebelum itu katanya, melalui pelbagai jawatan kanan di SC, beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan pasaran modal Malaysia dan ASEAN+3 (bersama China, Jepun dan Korea) (termasuk pasaran modal Islam). 

 

Tambahnya, Kemal juga pernah berkhidmat sebagai pengurusan kanan dalam pengurusan aset dan bank pelaburan di Malaysia. - DagangNews.com