Pemulihan sektor penerbangan tidak boleh dicapai sekelip mata - Mavcom | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan sektor penerbangan tidak boleh dicapai sekelip mata - Mavcom

Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula 16 September lalu menyaksikan peningkatan penumpang udara domestik yang ketara pada September 2021. - Gambar hiasan
 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan trafik penumpang pada tahun hadapan akan meningkat antara 316% dan 525% tahun ke tahun yang mewakili 32.6 hingga 49 juta penumpang, menurutnya dalam laporan indusrinya, Waypoint yang dikeluarkan hari ini.

 

Ramalan tersebut menunjukkan pemulihan sebanyak 30 hingga 45% daripada tahap trafik penumpang udara ketika sebelum pandemik pada 2019. 

 

Selain itu, syarikat penerbangan dijangka meningkatkan kapasiti tempat duduk secara beransur-ansur memandangkan permintaan perjalanan yang terpendam sekian lama dan simpanan terkumpul akan memacu pertumbuhan trafik penumpang pada tahun hadapan. 

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan membolehkan aktiviti pelancongan dihidupkan semula dan menunjukkan prospek yang amat positif bagi trafik penumpang udara pada 2022.

 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pemulihan penuh sektor penerbangan tidak akan dapat dicapai dalam tempoh yang singkat. 

 

Katanya, para pemain industri penerbangan mungkin akan menghadapi cabaran-cabaran yang sukar kelak, ekoran kenaikan harga minyak mentah Brent dan bahan api jet yang boleh memberi kesan yang signifikan terhadap kos operasi syarikat penerbangan. 

 

"Ini ditambah pula dengan kemungkinan penularan varian baharu COVID-19 termasuk Omicron yang merebak dengan pantas. 

 

"Bagaimanapun, kami tetap berharap industri penerbangan akan terus berkembang, terutama apabila kerajaan sedang mempertimbangkan pembukaan semula sempadan ke beberapa negara," katanya. 

 

Laporan itu mendapati sektor penerbangan telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang awal pada September lalu dengan mencatatkan pertumbuhan trafik penumpang udara sebanyak 56.6% bulan ke bulan, manakala 190.2% pada Oktober. 

 

Malah, kedua-dua bulan tersebut merekodkan 5.3% dan 14.9% daripada jumlah trafik penumpang udara bagi bulan yang sama pada 2019. 

 

Selain itu, jumlah trafik penumpang udara bagi 2021 dijangkakan lebih hampir dengan ramalan senario terbaik Mavcom iaitu antara 6.9 hingga 7.8 juta penumpang trafik udara.

 

Menurut laporan berkenaan, gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula 16 September lalu menyaksikan peningkatan penumpang udara domestik yang ketara pada September 2021 sebanyak 2,411% bulan ke bulan manakala Oktober pula sebanyak 261.4%. 

 

Kelonggaran sekatan sempadan bagi pelancong-pelancong antarabangsa turut menyumbang kepada pertumbuhan trafik penumpang udara.

 

Selain itu, permintaan bagi kargo udara Malaysia kekal berdaya tahan. Jumlah kargo udara negara dari segi Freight Tonne Kilometre (FTK) telah mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 19.7% tahun ke tahun pada suku ketiga 2021. 

 

Mavcom turut menjangkakan sektor kargo udara akan terus signifikan dalam usaha menghidupkan semula industri penerbangan pada baki tahun ini dan 2022.

 

"Pada tahun hadapan, trafik kargo udara diramalkan meningkat antara 3.9% dan 6.7% tahun ke tahun, iaitu sebanyak 20.8 bilion hingga 21.6 bilion FTK. 

 

"Peningkatan ini akan disokong oleh kemajuan program vaksinasi, pertumbuhan kukuh dalam sektor e-dagang, sektor elektrikal dan elektronik (E&E), serta permintaan daripada rakan rakan perdagangan utama negara," jelasnya. - DagangNews.com