KUALA LUMPUR 31 Okt - Ciri-ciri yang ada pada kenderaan perisai Pars 4x4 buatan firma FNSS Turkiye dilihat memberi beberapa kelebihan untuk jentera ini dipilih menjadi aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pars 4x4 sedang dinilai Tentera Darat sebagai calon menggantikan kenderaan APC Radpanzer Condor yang dibeli pada tahun 1981-1984 untuk dioperasikan oleh pasukan Kor Armor Diraja dan batalion infantri mekanis.
Difahamkan, kenderaan Pars 4x4 telah pun menjalani ujian pengendalian di Malaysia termasuk dibawa ke Kem Gemas, Negeri Sembilan.
Walaupun satu proses biasa tetapi uji nilai di lapangan ini digambarkan sebagai bayangan sesebuah jentera itu telah menarik minta ATM lalu perlu dilakukan ujian keseluruhan.
Bagaimanapun, usaha DagangNews.com untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang proses uji nilai ini dengan pihak industri yang terlibat tidak mendapat respons.
Memilih kenderaan sesuai untuk menggantikan Radpanzer Condor tidak mudah kerana antara yang ditekankan ialah ciri-ciri kelasakan, mudah diselenggara serta kos operasi yang ekonomi.
Radpanzer Condor juga merupakan antara pembelian paling menguntungkan apabila kenderaan perisai ini dapat memenuhi keperluan dan kehendak operasi ATM dengan baik.

Ia juga telah dioperasikan dalam cuaca dingin di Bosnia Herzegovina semasa ATM melaksanakan tugas tentera pengaman di sana serta iklim panas di Lebanon selain sesuai dengan keadaan tropika di Malaysia.
Atas sebab itu, penilaian yang diletakkan pada calon pengganti Radpanzer Condor ini tinggi.
Pars 4x4 dengan berat tempur sehingga 24 tan serta rekabentuk moden menang kerana mempunyai ciri-ciri amfibia iaitu faktor penting pada kenderaan perisai pilihan ATM.

Tanpa perlu persediaan, kru boleh memandu kenderaan ini untuk menyeberangi sungai atau tasik kerana ia mempunyai propeler pada sisi kenderaan bagi membantunya bergerak di air.
Saiznya yang kompak juga membolehkan kenderaan ini diangkut ke kawasan operasi menggunakan pesawat seperti Hercules C130 Tentera Udara Diraja Malaysia.
Dengan kemampuan yang lincah, Pars 4x4 juga boleh menjadi kenderaan perisai peninjau dan ini juga antara ciri yang diinginkan ATM.
Ini kerana sejak 20 tahun lalu pasukan armor Tentera Darat tidak mempunyai kenderaan peninjau setelah khidmat Ferret Scout Car ditamatkan.
Ferret Scout Car buatan Daimler yang diguna pada pertengahan 1950an hingga 1992 iaitu semasa Darurat dan Insurgensi merupakan kenderaan peninjau lasak dan terbaik.

Fungsi kenderaan peninjau ini adalah sebagai mata dan telinga pasukan armor selain dijadikan kenderaan perisai pengiring.
Justeru, adalah lebih bagus sekiranya kenderaan pengganti Radpanzer Condor juga boleh melaksanakan tugas sepertimana Ferret Scout Car.
Pars 4x4 buatan firma FNSS Turkiye dirancang dibina secara usahasama dengan DRB HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) dan ini juga bakal memberi impak ekonomi.
DEFTECH-FNSS telah memeterai kerjasama untuk reka bentuk, pembangunan, fabrikasi, pembuatan, lokalisasi, pemasangan dan pembekalan kenderaan berperisai keluarga PARS FNSS kepada kerajaan Malaysia.
Dengan pengalaman 24 tahun terbabit dalam industri pertahanan automotif, kebolehan DEFTECH memenuhi keperluan ATM telah pun dibuktikan sepanjang tempoh itu.
DEFTECH juga merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang mempunyai rantaian operasi lengkap termasuk litar ujian selain mempunyai kerjasama strategik dengan beberapa rakan industri luar negara.
Sebelum ini Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, sebanyak 136 kenderaan jenis A 4x4 akan dibeli menerusi peruntukan pada Bajet 2023.
Perolehan sebanyak RM2.049 bilion ini juga turut melibatkan pelbagai kenderaan jenis B bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat.
Sekiranya Pars 4x4 berjaya dipilih, ia juga bakal membina kerjasama pertahanan yang lebih erat antara Malaysia-Turkiye setelah terjalin sejak 22 tahun lalu.
Tidak mustahil juga kenderaan Pars 4x4 buatan DEFTECH ini nanti boleh menembusi pasaran angkatan tentera luar negara khususnya dalam kalangan negara serantau. - DagangNews.com








