Pemerkasaan Keusahawanan Belia: Wawasan dari Seminar Keusahawanan Rakan Muda Niaga | DagangNews Skip to main content

Pemerkasaan Keusahawanan Belia: Wawasan dari Seminar Keusahawanan Rakan Muda Niaga

Oleh Nur Anis Najiha Riswa Azril

SEJAK ditubuhkan pada 1994, Rakan Muda telah memainkan peranan bermanfaat dalam melahirkan generasi MADANI yang mampu bersaing.

 

Seminar Keusahawanan Rakan Muda Niaga ini dianjurkan oleh Persatuan Belia Dinamik Barat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Rakan Muda, Startlah Innovation PLT, Entrepreneurial Management & Leadership Development (EMLD), Special Interest Group (SIG), dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.

 

Berlangsung pada 22 Disember 2023 di Dewan Biduanda, acara tersebut dihadiri oleh pelajar dari UiTM Kampus Rembau itu sendiri, Institut Kemahiran Belia Negara Chembong (IKBN), dan Ahli Persatuan Belia Dinamik Barat.

 

Rakan Muda, Generasi Baharu MADANI

Rakan Muda merupakan satu daripada program yang dianjurkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seiring dengan perubahan dan perkembangan semasa untuk memastikan ia tetap relevan dan memberi impak positif kepada peserta.

 

Sebagai sebuah platform, Rakan Muda ini bertujuan untuk menyediakan peluang kepada belia 15-30 tahun untuk terlibat dalam pengisian masa berkualiti. Tambahan pula, setiap daerah dan negeri mempunyai program dan aktiviti menarik yang berbeza.

 

 

parafrasa

 

parafrasa
Para peserta Seminar Keusahawanan Rakan Muda Niaga melaksanakan tugasan

 

 

Sejarah Program Rakan Muda merangkumi rentang masa dari tahun 1994 hingga kini. Program ini diasaskan dengan tujuan mendorong perkembangan belia di Malaysia tanpa mengira bangsa, melibatkan mereka dalam pelbagai aktiviti dan projek seperti sukan, seni, pendidikan, khidmat masyarakat, dan kepimpinan.

 

Hal ini mencerminkan kesinambungan dan kesungguhan KBS dalam menitikberatkan pembangunan belia di Malaysia hingga hari ini.

 

Namun setelah 28 tahun dilaksanakan, pada 9 Julai 2023 Rakan Muda telah diberi nafas baharu daripada pihak KBS dengan tujuan yang lebih jelas dan baharu iaitu dengan memfokuskan kepada pembangunan anak muda menerusi penterjemahan ekspresi, minat dan kecenderungan positif berlandaskan 10 gaya hidup yang seronok, bersemangat dan bermakna.

 

Lebih 80,000 belia yang mendaftar di bawah program Rakan Muda selepas diperbaharui menunjukkan program ini dapat memberi manfaat positif kepada peserta dan menunjukkan keberkesanan program ini sepanjang ditubuhkan.

 

Rakan Niaga, Pemerkasaan Keusahawanan Belia

Pereka Perniagaan Startlah Innovation PLT, Zusuf Kan Zainal Kan, menyatakan bahawa tujuan utama program seminar ini adalah untuk memberikan pendekatan yang segar dan menarik dalam menyemai jiwa keusahawanan di kalangan belia.

 

Beliau menekankan penggunaan permainan dan alat-alat berfikir dalam seminar ini, yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga sangat sesuai untuk golongan belia. Pendekatan ini tidak hanya memberikan keseronokan, malah mendidik anak muda untuk memberikan komitmen dan mempelajari sesuatu dari permainan yang disediakan.

 

Semua peserta yang menyertai seminar ini terlibat dalam 7 sesi yang berbeza dan menarik. Antara permainan yang mencuri perhatian adalah piou-piou, istilah Perancis yang bermaksud serangan.

 

Permainan ini dirancang untuk memperkukuhkan kemahiran pemikiran strategik dan kebijaksanaan dalam mengambil peluang dengan menggunakan sumber yang ada untuk mencapai kemenangan. Piou-piou juga berperanan dalam menggantikan sesi suai kenal di antara ahli kumpulan baharu.

 

“Sebelum ini, saya tidak mempunyai hasrat untuk memulakan perniagaan. Namun, setelah menyertai program Seminar Keusahawanan Rakan Muda Niaga di UiTM Rembau hari ini, saya menyedari bahawa keusahawanan tidak hanya melibatkan penjualan, tetapi juga melibatkan penguasaan kemahiran dan ilmu keusahawanan yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian, termasuk mempraktikkan cara berfikir secara kritikal,” kata Muhammad Haikal Bin Norahmad, Ahli Persatuan Belia Dinamik Barat.

 

 

iktisad
                       Dr. Siti Sara Ibrahim

 


Manfaat Ilmu Tidak Terhingga

Pada sesi penutup, Dr. Siti Sara Ibrahim, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, dan Alumni di UiTM Cawangan Negeri Sembilan, menyatakan keyakinannya bahawa UiTM akan mendapat manfaat tidak langsung daripada seminar ini.

 

Beliau menekankan bahawa para pelajar yang hadir diharapkan menjadi golongan usahawan digital serba boleh, dengan konsep usahawan sosial yang profesional, dinamik, dan mempunyai jaringan perniagaan yang kukuh. Beliau turut merasmikan program Seminar Keusahawanan Rakan Muda Niaga ini.

 

Bagi Naga Navinashan Sri A/L Santuru, yang sedang melanjutkan pelajarannya di IKBN Chembong, minat dalam keusahawanan muncul setelah menghadiri seminar ini. Beliau mempunyai impian untuk membuka perniagaan makanan bersama rakan-rakannya.

 

Jika masyarakat terus diberi pengetahuan tentang keusahawanan, dengan ilmu, semangat, dan keyakinan yang ada, kita boleh mencipta generasi usahawan muda yang turut berperanan sebagai pemimpin dalam membangunkan ekonomi.

 

Melalui penubuhan syarikat-syarikat perniagaan dan penciptaan peluang pekerjaan, mereka dapat memberi sumbangan yang signifikan.

 

Oleh itu, belia berumur 15-30 tahun sepatutnya mengambil peluang untuk menyertai dan mendaftar dalam program Rakan Muda serta mengikuti program-program sebegini untuk merasai kelebihan, manfaat positif, dan pengalaman yang berharga. - DagangNews.com

 

 

Nur Anis Najiha Binti Riswa Azril adalah Setiausaha Agung Jawatan Perwakilan Kolej dan merupakan Pelajar Tahun Akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media