Pembukaan laluan darat Malaysia-Singapura keputusan tepat, bukti keyakinan bersama – Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pembukaan laluan darat Malaysia-Singapura keputusan tepat, bukti keyakinan bersama – Penganalisis

Duta Ong Keng Yong
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 25 Mac –  Pembukaan laluan darat Malaysia-Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua, Tuas merupakan keputusan yang tepat oleh kedua pemimpin kedua negara, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

 

Bekas Setiausaha Agung ASEAN yang kini Timbalan Pengerusi Eksekutif Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, Duta Ong Keng Yong berkata pembukaan sempadan antara kedua-dua negara adalah langkah yang sangat baik.

 

“Ia adalah tepat pada masanya. Ia mencerminkan keyakinan dan kepercayaan bersama terhadap rejim COVID-19 masing-masing.

 

“Satu lagi sebab yang baik untuk bersorak ialah sektor perniagaan dari kedua-dua negara kita telah bekerjasama dengan baik dan lebih teratur hari ini untuk menguruskan pasang surut situasi COVID-19, katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Beliau mengulas mengenai pengumuman yang dibuat oleh kerajaan kedua negara jiran paling akrab pada Khamis.

 

Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April ini dengan sebahagian besar (SOP) dilonggarkan.

 

Selari dengan pengumuman itu, pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

 

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media bersama Ismail Sabri dan Lee Hsien Loong.


 

duta
                                              Duta Ong Keng Yong

 

 

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata: “Sudah tiba masanya kita perlu menerima hakikat bahawa kita perlu “hidup” bersama dengan COVID-19.”

 

Katanya, ini dengan cara mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pemvaksinan dan menerima norma-norma baru yang banyak menggunakan teknologi.

 

Merujuk kepada kajian empirikal oleh John Hopkins University baru-baru ini, Mohd Afzanizam berkata kajian itu menyatakan bahawa lockdown bukanlah cara yang berkesan untuk menangani penularan Wabak COVID-19.

 

“Justeru, langkah untuk membuka sempadan ini adalah suatu tindakan yg betul. Namun kita semua perlu sentiasa menjaga SOP dan juga kesihatan kita sendiri supaya dapat mengelakkan risiko jangkitan.


 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
                                   Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 


“Selagi sempadan tidak dibuka, maka ekonomi itu dikatakan masih tidak berfungsi sepenuhnya kerana sektor pelancongan nadi penggerak kepada satu-satu ekonomi itu dengan kesan rantaian industri yang meluas,” katanya kepada DagangNews.Com.

 

Berkongsi pandangan yang sama, Felo Kanan, Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata: “Ya, saya rasa sudah tiba masanya untuk kedua-dua negara membuka sempadan antara satu sama lain.

 

Katanya, ekonomi Malaysia dan Singapura sangat bersepadu, dan masyarakat kita juga berinteraksi rapat antara satu sama lain.

 

“Ini malangnya terganggu oleh wabak itu, menyebabkan bukan sahaja kesulitan sosial bagi orang ramai dari kedua-dua belah tambak, tetapi juga kerugian ekonomi yang besar kerana barangan dan perkhidmatan kita tidak dapat ditukar dengan cekap seperti sebelum ini.


 

Dr Oh Ei Sun
                                     Dr Oh Ei Sun

 


“Saya fikir kita harus menyelaraskan dasar wabak kita dengan lebih rapat, bertukar-tukar amalan terbaik apabila ia berlaku, supaya pada masa hadapan kita boleh melakukan yang terbaik untuk mengelakkan penutupan atau lockdown yang mengakibatkan kerugian besar seperti ini lagi, ujar Oh.

 

Sementara itu, ketika dihubungi DagangNews.Com, Pengerusi Dewan Perniagaan Usahawan Era Baru Malaysia, Saiful Sidek Abdullah berkata: Saya menyambut baik langkah ini sebagai pemulihan secara holistik di mana banyak isu-isu yang menyelubungi kita dapat dipulihkan secara beransur-ansur.

 

“Ini termasuk pemulihan ekonomi yang meliputi punca pendapatan keluarga, urusniaga yang terencat antara dua negara dan pengangguran.

 

“Isu sosial juga dapat dipulihkan seperti hubungan kekeluargaan yang terputus agak lama dan aktiviti kunjung mengunjungi antara saudara mara kedua-dua buah negara sekali gus mengurangkan gejala stres dan meningkatkan pemulihan kesihatan mental secara tidak langsung,” kata Saiful.


 

Saiful Sidek Abdullah
               Saiful Sidek Abdullah

 


Namun beliau mengingatkan agar persediaan rapi perlu diteliti di pintu masuk sempadan agar tidak berlaku kesesakan yang boleh menyumbang kepada kelompongan di dalam menjaga penjarakan sosial semasa memasuki kedua-dua buah negara.

 

Saiful juga mengingatkan bahawa kelonggaran ini perlu dimanfaatkan dengan rasa tanggungjawab penuh oleh pengembara-pengembara agar patuh kepada SOP yang telah ditetapkan walaupun ia lebih bersifat kendiri tanpa penguatkuasaan yang ketat dari pihak berwajib. DagangNews.Com