Pembiayaan alternatif berpotensi tingkat daya tahan, pertumbuhan PKS bioteknologi di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembiayaan alternatif berpotensi tingkat daya tahan, pertumbuhan PKS bioteknologi di Malaysia

Dr Lee Boon Chye menyampaikan ucapannya pada persidangan SCxSC GROW di sini, hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Okt - Dengan peningkatan pesat fintech di Malaysia, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menggesa lebih banyak syarikat bioteknologi dan berasaskan bio tempatan untuk mendapatkan pembiayaan alternatif, yang membolehkan Malaysia agar kekal berdaya saing dalam kemajuan teknologi di peringkat global.

 

Pengerusi Bioeconomy Corporation, Dr Lee Boon Chye berkata bahawa syarikat pemula, peringkat awal, dan entiti mapan termasuk syarikat-syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) berpeluang mendapat manfaat daripada pembiayaan alternatif seperti pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), yang boleh membantu mereka mempertingkatkan operasi, membiayai penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan serta berkembang ke pasaran baharu.

 

Beliau berkata Bioeconomy Corporation komited untuk membantu syarikat bioteknologi dan berasaskan bio tempatan mendapatkan pembiayaan alternatif agar ekosistem pembiayaan berterusan bagi menyokong industri bioteknologi Malaysia, seperti yang digariskan oleh Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

 

“Walaupun menghadapi cabaran ekonomi disebabkan kesan pandemik COVID-19, syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia telah menampilkan daya tahan yang teguh dan pertumbuhan berterusan.

 

 

bioeconomy

 

“Sehingga kini, 345 buah syarikat berstatus BioNexus telah mencapai pelaburan direalisasikan bernilai RM4.22 bilion. Pada suku pertama 2023, syarikat-syarikat tersebut mencatatkan jumlah pendapatan yang memberangsangkan sebanyak RM438.7 juta,” ujar beliau.

 

Menurut Lee, bagi mengekalkan dan menambah baik momentum pertumbuhan ini, pihaknya percaya bahawa penggunaan rumusan pembiayaan alternatif dapat membantu syarikat menangani cabaran dengan berkesan dalam industri, yang mungkin menghalang perkembangan dan matlamat kemampanan jangka panjang mereka.

 

“Antara cabaran-cabaran ini termasuk akses kepada pembiayaan mencukupi, proses penyelidikan dan kelulusan yang memakan masa, kos pembangunan, kesan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi,” kata Lee dalam ucapannya pada persidangan SCxSC GROW di sini hari ini.

 

Beliau menambah, dari 2020 hingga 2023, Bioeconomy Corporation telah membantu enam syarikat bioteknologi dan berasaskan bio untuk mengumpul RM4.5 juta melalui ECF dan P2P.

 

 

bio

 

 

Untuk memaksimumkan pertumbuhan pendanaan ECF dan P2P, Bioeconomy Corporation bergabung tenaga dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) buat pertama kali melalui persidangan SCxSC GROW. Kerjasama ini menghubungkan syarikat berstatus BioNexus dan BBA dengan pemegang kepentingan kewangan utama, dengan matlamat untuk membuka potensi pembiayaan alternatif dalam membangunkan perniagaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio.

 

Lebih 100 orang wakil daripada syarikat berstatus BioNexus dan BBA dalam sektor pertanian, perindustrian dan penjagaan kesihatan telah menghadiri persidangan itu, di mana mereka memperoleh pandangan dan peluang tentang pilihan pembiayaan alternatif yang terdapat di Malaysia.

 

Selain sesi perkongsian pengetahuan dan perbincangan yang mendalam, acara itu juga merupakan platform untuk 10 syarikat berstatus BioNexus dan BBA mempamerkan produk, teknologi dan perkhidmatan inovatif mereka kepada pelabur bakal, rakan kongsi dan pelanggan, sementara dua syarikat berstatus BioNexus dan dua syarikat BBA terlibat dalam pembentangan produk dan perkhidmatan mereka kepada bakal pelabur. - DagangNews.com