KUALA LUMPUR 24 Nov - RHB Research positif dengan cadangan Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) untuk membeli Pavilion Bukit Jalil Mall (PBJ) memandangkan ia mampu mempelbagaikan aliran pendapatan kumpulan tanpa bergantung kepada hasil Pavilion Kuala Lumpur (PKL).
Pada masa sama, langkah itu dapat mengimbagi impak negatif daripada rangkaian pusat beli-belah di bawahnya yang berprestasi rendah.
Menurut firma itu, apabila cadangan itu dimuktamadkan, PBJ akan mewakili 27% daripada aset yang diperbesarkan di bawah pengurusan, dan ini akan mengurangkan pergantungannya kepada PKL, yang akan menyaksikan sumbangannya kepada jumlah nilai aset berkurangan daripada 82% kepada 60%.
Katanya, PBJ juga menawarkan lebih banyak peluang pertumbuhan daripada asas yang rendah kerana pengurusan memberi petunjuk bahawa purata sewa semasa bagi setiap persegi hanya dalam digit tunggal yang tinggi, lebih rendah daripada pusat beli-belah pinggir bandar yang lain.
"Bagaimanapun, kami berhati-hati dengan risiko persaingan dalam sektor ini disebabkan kemasukan bekalan ruang runcit dan risiko kelembapan dalam jualan runcit di tengah-tengah persekitaran inflasi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Pavilion REIT cadang beli Pavilion Bukit Jalil bernilai RM2.2 bilion
Pada Selasa, Pavilion REIT mengumumkan cadangannya untuk membeli PBJ daripada Regal Path Sdn. Bhd. dengan pertimbangan belian sebanyak RM2.2 bilion.
Regal Path akan menjual satu blok pusat beli-belah runcit lima tingkat dengan dua aras tempat letak kereta bawah tanah yang terletak di Bukit Jalil City, Kuala Lumpur berserta aset dan hak berkaitan.
Ia merupakan syarikat usaha sama anak syarikat milik penuh Malton, Khuan Choo Realty Sdn Bhd; anak syarikat milik penuh Qatar Investment Authority, Q PBJ Sdn Bhd; dan Tan Sri Desmond Lim menerusi syarikat persendiriannya, Jelang Tegas Sdn Bhd.
Susulan pembelian itu, Pavilion REIT turut berhasrat melaksanakan cadangan penempatan saham unit baharu untuk meraih sehingga RM1.27 bilion pada harga terbitan yang akan ditentukan kelak menerusi proses penetapan harga.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Pavilion REIT dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.52 daripada RM1.50 sesaham sebelum ini.
Menurut firma itu, jumlah harga perolehan sebanyak RM2.2 bilion itu akan dibayar secara berperingkat dan dua peringkat penempatan unit..
"Selepas memuktamadkan tarikh penyelesaian, yang kami jangkakan pada suku kedua 2023, Pavilion REIT akan membayar sebanyak RM1.65 bilion, terdiri daripada RM1 bilion daripada pinjaman bank, dan RM650 juta melalui hasil tunai daripada penempatan pertama kepada vendor.
"Sebanyak RM150 juta akan dibayar apabila tamat Defects Rectification Period (DRP) dan selepas pengeluaran dan penyerahan hakmilik strata yang disasarkan menjelang akhir 2023," katanya. - DagangNews.com








