Pembangunan AHTV bantu usahawan terlibat lebih agresif dalam rantaian industri automotif - Penganalisis Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Pembangunan AHTV bantu usahawan terlibat lebih agresif dalam rantaian industri automotif - Penganalisis Ekonomi

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 2 Mei – Pembangunan dan pengkomersialan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang terletak di Tanjung Malim, Perak akan membantu usahawan tempatan untuk terlibat dengan lebih agresif dalam rantaian industri automotif dan pada masa yang sama mewujudkan keperluan industri dari aspek tenaga buruh mahir dan separa mahir.

 

Penganalisis ekonomi, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata AHTV dijangka dapat menaikkan ekonomi Perak serta membangunkan bakat penduduk negeri, namun usaha yang lebih perlu diambil perhatian ialah aspek latihan dan khidmat teknikal untuk memacu usahawan tempatan terlibat dalam rantaian industri.

 

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, dari aspek peluang pekerjaan, penawaran tenaga buruh mahir dan separa mahir boleh memberi kesan limpahan kepada ekonomi negeri dan kolej teknikal dan universiti yang berhampiran boleh menjadi feeder(penawaran) kepada keperluan industri.

 

Menurutnya, beberapa lokasi auto kluster boleh menjadi penanda aras kepada negeri Perak untuk menjadi pemudah (enabler) kepada pertumbuhan imdustri AHTV dan hub kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

 

 

Muhammad Ridhuan Bos Abdullah
                       Muhammad Ridhuan Bos Abdullah

 

 

“Menjadikan Tanjung Malim sebagai hub adalah cabaran utama negara dan negeri namun ia tidak mustahil untuk direalisasikan kerana pengeluar industri automotif dunia telah melalui pembangunan inovasi yang sama (technology pace),” ujarnya kepada DagangNews.

 

Beliau menekankan faktor masa adalah kritikal dalam membangunkan rantaian AHTV di samping sinergi antara pembuat dasar dan industri amat penting kerana kejayaan AHTV bergantung kepada polisi yang dinamik selari dengan perkembangan industri.

 

 

iriz
Kereta konsep enjin elektrik pada model Iriz. - Gambar WapCar

 

 

“Tempoh kritikal adalah dalam merubah paradigma negara.. kita mahu jadi hub NEV, jadi kita perlu berubah kepada pemasangan NEV daripada (pemasangan) kereta akhir dan pengeluaran alat ganti,” jelas beliau lagi.

 

Beliau menekankan bahawa keupayaan negara untuk menyatukan kedua-dua rantaian ini sangat kritikal.

 

“Selain dari faktor pembuat dasar dan industri, bakat seperti modal manusia dan akses kepada venture capital(modal teroka) telah menyokong pertumbuhan industri auto di US dan Japan.

 

“Kuasa utama yang perlu dikenal pasti dan digerakkan adalah peneraju AHTV dan komponen-komponen yang melengkapkan pengeluarannya,” jelas beliau lagi.

 

Terdahulu, kerajaan negeri Perak telah berjaya meningkatkan nilai pelaburan negeri kepada RM40 bilion berbanding RM32 bilion sebelum ini menerusi AHTV.

 

Pengeluar kereta China Geely telah mengumumkan bahawa ia akan melabur RM45 bilion untuk menjadikan Tanjung Malim, Perak, menjadi bandar auto terbesar di rantau ini.

 

Baru-baru ini, Geely, yang berpangkalan di China telah mengumumkan usahasama dengan syarikat Baidu Inc untuk melancarkan kenderaan elektrik berkuasa kecerdasan buatan (AI) pertamanya yang dipanggil Ji Yue 01.

 

 

Ji Yue 01

 

 

Dua kilang pemasangan automotif utama negara terletak di Kedah, dimana kilang Sime Darby Bhd Inokom Corporation Sdn Bhd (yang turut memasang untuk Hyundai, BMW, MINI, Mazda dan Ford Transit) dan terbaru, Chery Automobile Co Ltd telah melantik Inokom sebagai pemasang tempatannya.

 

Porsche AG juga telah merasmikan kilang pemasangan pertama jenama kenderaan Porsche di luar Eropah yang terletak di Kulim, manakala kilang pemasangan kenderaan yang terletak di Gurun, yang memasang Peugeots, Citroens, Kias, Great Wall M4. - DagangNews.com