Pemaju disaran bina lebih banyak perumahan kepada golongan berpendapatan rendah di bandar - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemaju disaran bina lebih banyak perumahan kepada golongan berpendapatan rendah di bandar - PM Anwar

Residensi Prihatin MADANI - Gambar Jabatan Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pemaju perumahan disaran bina lebih banyak projek perumahan untuk penduduk berpendapatan rendah terutamanya di kawasan bandar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Menurut Perdana Menteri, golongan berpendepatan rendah tidak boleh disisihkan daripada arus pembangunan.

 

"Saya menekankan berulang kali supaya kita seimbangkan kedua-duanya, Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur harus dipacu pertumbuhan dengan bangunan indah, kemudahan, kediaman, restoran dan hotel kerana ia petanda satu kota berjaya dan makmur.

 

"Tetapi harus ada juga kelainan dan keunikannya iaitu ibu kota yang prihatin, ibu kota Madani maknanya sebahagian besar rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tidak boleh disisihkan daripada arus pembangunan itu.

 

"Maka tanggungjawab bersama kerajaan, pihak swasta supaya memastikan tiap pembangunan perumahan yang besar mesti ada perumahan sampingan untuk rakyat bawah," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di ibu negara, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, terdapat banyak negara termasuk Malaysia yang meminggirkan golongan berpendapatan rendah di sesebuah kota yang maju, lapor Astro Awani.

 

"Mereka keluar dari kota atau tinggal di kawasan sesak di bandar.

 

 

anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di ibu negara pada 17 Ogos 2023. - Gambar Astro Awani

 

 

"Jadi kita tidak mahu perkara ini berterusan dan atas sebab itu ia memerlukan kejuruteraan sosial di mana dasar kerajaan termasuk Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar untuk mengenal pasti dan mempercepatkan kelulusan ini," ujar beliau lagi. - DagangNews.com