Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Dis - VS Industry Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM39.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2021, susut 40.93% daripada RM66.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 1.9% kepada RM968 juta berbanding RM987.1 juta disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada operasi di Malaysia dengan tempahan berkurangan bagi pemasangan papan litar bercetak (PCBA) pada suku pertama dan gangguan dalam bekalan komponen.
Bagi suku berkenaan, untung bersih kumpulan terjejas disebabkan pelbagai faktor yang mempengaruhi operasinya di Malaysia termasuklah peningkatan kos buruh dan bahan mentah serta susut nilai lebih tinggi daripada kemudahan baharu.
Pada masa sama, kos menubuhkan Pusat Vaksinasi Perindustrian (PPVIN) di bawah inisiatif PIKAS dan kos vaksinasi melibatkan semua tenaga kerja turut memberi kesan kepada kumpulan.
Selain itu, pengeluaran besar-besaran untuk pelanggan utama baharu yang dimulakan pada suku dikaji masih belum mencapai tahap optimum.
Oleh itu, beserta gangguan kepada rantaian bekalan, ini telah menyebabkan kecekapan operasi yang lebih rendah.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan VS Industry, Datuk SY Gan berkata, dalam persekitaran operasi yang mencabar disebabkan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan geopolitik, antara lain, sudah dijangka berlaku.
Katanya, gangguan dalam rantaian bekalan global juga menyebabkan masalah kekurangan komponen dan dalam tempoh yang lama akan menjejaskan banyak industri termasuk perkhidmatan pembuatan elektronik.
"Dari sudut positif, terdapat beberapa pemangkin kepada kumpulan, yang secara keseluruhan menyaksikan permintaan pelanggan kekal kukuh dan dijangka berterusan sehingga suku akan datang.
"Malah, kumpulan juga kini dalam perbincangan dengan beberapa pelanggan utama yang berpotensi memberi tempahan baharu, jika direalisasikan, akan menyumbang kepada pendapatan masa depan," jelas beliau.
Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.4 sen sesaham bagi tempoh suku dikaji. - DagangNews.com








