KUALA LUMPUR 23 Ogos - FGV Holdings Bhd mengukuhkan komitmennya terhadap Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita (GEWE) serta menggariskan fokus Kumpulan terhadap pemerkasaan wanita sebagai bidang utama dalam tonggak sosial.
Langkah tersebut dibuktikan menerusi pelantikan dua pengarah wanita dalam Lembaga Pengarah Kumpulan serta menjalankan inisiatif berlandaskan kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEI).
Antara komponen utama komitmen itu termasuk penubuhan Jawatankuasa GEWE pada Februari 2021, yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan penghormatan dan sokongan penuh hak wanita di tempat kerja, memastikan kesaksamaan dan memerangi diskriminasi.
Selain itu, FGV melantik Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman dan Nurul Muhaniza Hanafi sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif (INED) pada April 2024 merupakan bukti Kumpulan menyepadukan perspektif gender ke dalam Dasar Kelestarian Kumpulan (GSP).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Nazrul Mansor, menekankan ekuiti jantina bukan hanya sebagai satu kemestian moral tetapi langkah strategik yang bakal meningkatkan tadbir urus korporat dan mendorong pertumbuhan Kumpulan.
"Pelantikan Datuk Dr. Suzana dan Nurul Muhaniza ke dalam Lembaga Pengarah kami merupakan bukti komitmen kami terhadap kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman, serta untuk memupuk budaya korporat yang pelbagai dan inklusif, untuk struktur tadbir urus yang lebih dinamik dan inovatif," ujar beliau.
Menurut FGV, pekerja wanita di FGV mewakili 50% dalam komposisi Lembaga Pengarah Kumpulan, melebihi saranan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) iaitu sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita dalam lembaga pengarah.
Selain itu, FGV juga menumpukan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program sejajar dengan Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEP), iaitu prinsip yang dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Wanita dan Kompak Global Pertubuhan Badan-Badan Bersatu (UNGC) bagi membimbing perniagaan dalam memajukan kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita di tempat kerja, pasaran dan komuniti.
"Inisiatif kami melangkaui bilik lembaga pengarah bagi memajukan GEWE dalam FGV disokong oleh LeadWomen sebagai perunding luar yang dilantik pada Mac 2024 dalam menjalankan Kempen Pengaktif WEPs serta menyokong sektor swasta dalam melaksanakan inisiatif DEI yang mampan dan holistik.
"Kerjasama LeadWomen dengan FGV akan melibatkan pelbagai penglibatan dan kerjasama tidak terhad kepada, semakan dasar, penilaian jurang, perbincangan meja bulat, perancangan tindakan dan latihan kesedaran," ujar FGV .
Sementara itu, FGV berkata inisiatif yang berlandaskan GEWE selaras dengan Rangka Kerja Kelestarian FGV yang telah dilancarkan pada bulan Julai yang merangkumi 5 tonggak utama iaitu Pertumbuhan Ekonomi, Tadbir Urus, Sosial, Alam Sekitar dan Inovasi & Teknologi.- DagangNews.com








