Pelan hala tuju pasaran modal pemangkin pertumbuhan PKS - Samenta | DagangNews Skip to main content

Pelan hala tuju pasaran modal pemangkin pertumbuhan PKS - Samenta

Oleh Datuk William Ng

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mengalu-alukan Pelan Hala Tuju 5 Tahun untuk Akses PMKS ke Pasaran Modal, yang diumumkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini.

 

Lima prinsip pelan hala tuju iaitu pengurangan kos, pembangunan kapasiti, meluaskan kumpulan pelabur, produk inovatif dan pemanfaatan teknologi, akan membantu Malaysia mencapai sasaran pelan hala tuju untuk mempunyai PKS dan syarikat peringkat pertengahan yang mampu menjana RM40 bilion melalui pasaran modal menjelang 2028 (daripada RM6.3 bilion pada 2023).

 

Walaupun ekosistem pembiayaan perniagaan Malaysia cukup matang, masih terdapat jurang yang boleh dipenuhi melalui pasaran modal.

 

Sebagai contoh, banyak PKS mendapati bahawa pembiayaan tradisional memakan masa, dari segi permohonan, proses kelulusan dan pengeluaran dana.

 

 

DATUK WILLIAM NG
                  DATUK WILLIAM NG

 

 

Dengan mempopularkan dan memperkasakan dana khalayak berekuiti atau equity crowdfunding (ECF), PKS akan mempunyai pilihan untuk mendapatkan pembiayaan modal kerja pada jangka masa yang lebih singkat dan pantas.

 

Tambahan pula, banyak PKS mendapati jangka masa untuk pembiayaan atau saiz tiket yang ditawarkan oleh institusi kewangan tradisional berbeza daripada keperluan mereka sendiri.

 

Melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO), PKS boleh mengumpul dana daripada pelabur yang mungkin tidak ditawarkan oleh saluran pembiayaan tradisional.

 

Kami juga mengalu-alukan komitmen Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk meningkatkan kecairan dan harga pasaran saham (valuation) bagi PKS yang tersenarai, terutamanya dalam pasaran LEAP.

 

Ini menghalang syarikat berprestasi tinggi daripada disenaraikan, manakala PKS yang tersenarai pula terpaksa menghadapi isu saham yang kurang didagangkan (illiquid) dan harga saham yang rendah.

 

Ini merupakan sebab kenapa majoriti PKS memilih untuk menjual Syarikat mereka, kerana kos yang lebih murah dan harga yang mungkin lebih baik.

 

Walau apa pun pilihannya, ekuiti atau pembiayaan hutang, PKS perlu mengamalkan mantera 'dokumen, dokumen, dokumen'.

 

Banyak PKS yang gagal meminjam duit atau mengumpul dana kerana rekod yang tidak lengkap atau terlalu rumit untuk dipertimbangkan oleh pembiaya dan pelabur.

 

SAMENTA mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan Dana Wawasan PKS dengan pembiayaan awal sebanyak RM1 bilion.

 

Dana ini boleh digunakan untuk melabur dalam IPO baharu, dengan saiz tiket RM50,000 sehingga RM1 juta setiap syarikat, berdasarkan kriteria yang diputuskan oleh pengurus dana.

 

Ini akan memberi keyakinan kepada PKS untuk disenaraikan kerana ia mampu membantu penilaian harga saham syarikat, dan merancakkan aktiviti kounter saham mikro di pasaran saham. - DagangNews.com

 

DATUK WILLIAM NG merupakan Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta)