KUALA LUMPUR 11 Sept - Pelabur asing terus menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut, mencatatkan aliran keluar lebih rendah pada RM27.7 juta minggu lepas berbanding RM113.5 juta minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata jualan bersih pelabur asing pada Isnin dan Selasa tidak dapat diterbalikkan oleh pembelian bersih pada hari-hari berikutnya.
Jelasnya, mereka telah menjual bersih pada Isnin dan Selasa masing-masing berjumlah RM107.4 juta dan RM58.3 juta sebelum membeli bersih pada Rabu (RM95.5 juta), Khamis (RM11.8 juta) dan Jumaat (RM30.8 juta).
Di samping itu, firma penyelidikan itu berkata tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk pelabur asing iaitu utiliti (RM211.6 juta), hartanah (RM40.4 juta) dan tenaga (RM32.9 juta).
“Tiga sektor terbawah dengan aliran keluar pelabur asing bagi minggu ini ialah produk dan perkhidmatan kewangan (RM226 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM33.5 juta), serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM30.2),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata pelabur asing telah menjual bersih RM2.7 bilion setakat tahun ini.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal membeli bersih bagi minggu keempat berturut-turut dengan sebanyak RM60.6 juta minggu lalu.
Firma itu berkata aliran masuk pada Isnin (RM92.3 juta) dan Selasa (RM87.7 juta) sudah memadai untuk mengurangkan kesan aliran keluar pada hari Rabu (RM79.6 juta), Khamis (RM11.1 juta) dan Jumaat (RM28.8 juta).
Setakat ini, institusi tempatan telah membeli bersih RM3.29 bilion ekuiti Malaysia.
Manakala pelabur runcit tempatan terus mencatat jualan bersih, kini memasuki minggu kesembilan berturut-turut dengan mencatatkan jualan bersih bernilai RM33 juta minggu lepas.
Mereka hanya membeli bersih RM15.1 juta pada Isnin tetapi menjadi penjual bersih hingga Jumaat. Setakat ini, pelabur runcit tempatan mencatatkan jualan bersih RM583.6 juta
“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dalam kalangan pelabur asing (51.1%), pelabur institusi (28.4%) dan pelabur runcit (26.6%),” katanya. - DagangNews.com








