Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Pelabur asing kekal menjadi pelabur utama dalam pasaran saham tempatan buat minggu ketiga berturut-turut, menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan.
Bagaimanapun, firma itu mendapati, aliran masuk asing berkurangan bagi minggu berakhir 22 Oktober sebanyak RM587.61 juta berbanding minggu sebelumnya, RM924.77 juta.
"Apabila pasaran dibuka pada Isnin, pelabur asing membeli sebanyak RM237.99 juta ekuiti tempatan.
"Tidak termasuk cuti umum pada Selasa, mereka membeli ekuiti setiap hari minggu lalu dengan aliran tertinggi dicatatkan pada Rabu sebanyak Rabu sebanyak RM237.99 juta manakala paling rendah pada Khamis sebanyak RM16.78 juta," katanya hari ini.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan dan runcit menjual ekuiti masing-masing sebanyak RM215.79 juta dan RM22.2 juta.
Bagi pelabur runcit, MIDF Research berkata, mereka menjual ekuiti separuh daripada minggu dagangan selama 4 hari kecuali Rabu dan Khamis.
"Paling banyak dijual direkodkan pada Isnin dan paling banyak dibeli pada Khamis dengan masing-masing sebanyak RM22.2 juta dan RM95.39 juta.
"Secara terkumpul, mereka membeli sebanyak RM74.83 juta ekuiti tempatan sepanjang minggu lalu," tambahnya.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula merekodkan penjualan ekuiti sepanjang minggu lalu sebanyak RM662.44 juta.
Didapati, mereka menjual ekuiti setiap hari minggu lalu dengan paling banyak direkodkan pada Rabu sebanyak RM243.95 juta manakala aliran keluaran paling rendah pada Jumaat sebanyak RM90.53 juta.
Sejak awal tahun ini, MIDF Research mendapati, pelabur runcit masih kekal satu-satunya pembeli ekuiti tempatan dengan berjumlah RM10.4 bilion.
"Pelabur institusi tempatan dan asing masing-masing menjual sebanyak RM8.22 bilion dan RM2.18 bilion ekuiti.
"Namun, perlu diperhatikan bahawa jualan pelabur asing semakin menurun. Ia berjumlah RM3.75 bilion berdasarkan tahun hingga akhir September 2021," jelasnya.
Dalam pada itu, bagi minggu berakhir 22 Oktober itu, indeks utama FBM KLCI susut 0.64% untuk menutup dagangan pada 1,588.08 mata, mengakhiri peningkatan selama 2 minggu berturut-turut.
Ringgit pula sedikit menokok 0.17% berbanding dolar Amerika Syarikat untuk mengakhiri dagangan Jumaat pada RM4.1505. - DagangNews.com








