Pelabur asing jual RM313.8 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM313.8 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Pelabur asing mengekalkan momentum jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, dengan aliran keluar RM313.8 juta ekuiti minggu lepas, iaitu 24.4% lebih rendah daripada RM415.1 juta dalam minggu sebelumnya.

 

Ini menjadikan aliran keluar asing pada Mac setakat ini berjumlah RM2.44 bilion.

 

MIDF Research berkata, pelabur asing menjual bersih dari Isnin hingga Rabu berjumlah RM757.5 juta.

 

Selepas itu, mereka mencatat pembelian bersih RM443.7 juta pada Khamis dan Jumaat berikutan sentimen yang bertambah baik selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dengan pengurangan tiga kadar masih dalam perancangan. 

 

Di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) juga meramalkan pertumbuhan 4% hingga 5% pada 2024, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan peningkatan permintaan luar.

 

 

“Sektor dengan aliran masuk asing tertinggi pada Khamis adalah hartanah (RM100.1 juta), tenaga (RM21.6 juta) dan pembinaan (RM14.1 juta). 

 

“Sementara itu, sektor yang mencatatkan aliran keluar asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM272.3 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM123.8 juta) serta utiliti (RM93.2 juta),” kata firma penyelidikan itu dalam laporan aliran dana mingguan berakhir 22 Mac 2024 hari ini.

 

Bagi pelabur institusi tempatan pula, MIDF Research berkata mereka meneruskan pembelian bersih bagi minggu keempat berturut-turut dengan aliran masuk RM442.7 juta minggu lepas. 

 

Berbanding dengan pelabur asing, mereka membeli bersih RM835.3 juta dari Isnin hingga Rabu dan menjual bersih RM392.6 juta pada Khamis dan Jumaat.

 

Sementara itu, pelabur runcit tempatan mengekalkan pendirian jualan bersih mereka sebanyak RM128.8 juta minggu lepas, dengan mencatat aliran keluar setiap hari. Mereka telah menjadi penjual bersih selama 12 hari dagangan berturut-turut.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) meningkat dalam kalangan pelabur runcit dan institusi masing-masing sebanyak 2.6% dan 3.1% manakala pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak 29.2%,” katanya. - DagangNews.com