Pelabur asing jual ekuiti tempatan 11 minggu berturut-turut, catat aliran keluar lebih RM350 juta minggu lalu – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti tempatan 11 minggu berturut-turut, catat aliran keluar lebih RM350 juta minggu lalu – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - Jualan bersih pelabur asing di Bursa Malaysia berlanjutan kepada dalam minggu ke-11 berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM359.9 juta pada minggu lalu berbanding RM240 juta minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata pelabur asing telah menjadi penjual selama 20 daripada 26 minggu tahun ini, mencatatkan aliran keluar bersih berjumlah RM4.19 bilion.

 

“Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk bersih pelabur asing adalah pembinaan (RM71.9 juta), hartanah (RM16.4 juta)serta pengangkutan dan logistik (RM6.2 juta).

 

Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih mereka adalah perkhidmatan kewangan (RM136.5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM86 juta) dan teknologi (RM72.9 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kelima berturut-turut, mencatatkan aliran masuk sebanyak RM278.3 juta minggu lalu.

 

Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 20 daripada 26 minggu, dengan jumlah aliran masuk bernilai RM3.73 bilion.

 

Pelabur runcit tempatan pula telah bertukar menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk bernilai RM81.6 juta minggu lepas.

 

Pelabur runcit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 14 daripada 26 minggu setakat ini, dengan aliran masuk berjumlah RM463.2 juta.

 

Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur runcit dan pelabur institusi tempatan masing-masing menurun sebanyak 2% dan 7.3%, namun dalam kalangan pelabur asing meningkat 3.7%. - DagangNews.com