Pelabur asing beli RM52.7 juta ekuiti tempatan bagi minggu keenam berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing beli RM52.7 juta ekuiti tempatan bagi minggu keenam berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pelabur asing mengekalkan rentetan pembelian bersih mereka di Bursa Malaysia bagi minggu keenam berturut-turut minggu lepas, dengan aliran masuk berjumlah RM52.7 juta berbanding RM465.5 juta minggu sebelumnya, menunjukkan kadar yang lebih sederhana.

 

MIDF Research berkata pelabur asing mencatat pembelian bersih dari Isnin hingga Rabu, dengan aliran masuk tertinggi pada Rabu (RM106.4 juta), namun beralih kepada penjual bersih menjelang akhir minggu, berpotensi didorong oleh dua laporan data ekonomi yang lemah.

 

Jelasnya, jumlah eksport jatuh sebanyak 13.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM116.75 bilion pada Julai, manakala jumlah import menyusut sebanyak 15.9% YoY kepada RM99.66 bilion.

 

Sementara itu, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar lebih perlahan daripada jangkaan iaitu 2.9% YoY pada suku kedua tahun ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, setakat ini, pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti domestik pada kadar RM2.41 bilion.

 

“Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk pelabur asing adalah hartanah (RM165.3 juta), teknologi (RM27.4 juta) dan perladangan (RM23.9 juta), manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar pelabur asing adalah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM106.5 juta), penjagaan kesihatan (RM49.6 juta) dan REIT (RM27.1 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih dengan mencatatkan aliran masuk RM76.1 juta selepas jualan bersih sejak lima minggu lalu.

 

Setakat ini, pelabur institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih dengan merekodkan sebanyak RM2.76 bilion.

 

Melangkah ke minggu keenam berturut-turut, pelabur runcit tempatan telah menjual bersih ekuiti domestik bernilai RM128.8 juta minggu lepas.

 

Setakat ini, pelabur runcit tempatan telah menjadi penjual bersih dengan mencatatkan sejumlah RM348.9 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam nilai purata dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan pada pelabur runcit (24.9%), pelabur institusi tempatan (28.2%) dan pelabur asing (11.9%),” katanya.  - DagangNews.com