KUALA LUMPUR 5 Dis - Selepas aliran keluar sebanyak RM2.18 bilion pada Oktober 2023, pelabur asing bertukar lebih positif terhadap ekuiti Malaysia pada November apabila mereka membeli bersih RM1.55 bilion, aliran masuk bulanan terbesar mereka untuk tahun ini, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Penganalisis firma penyelidikan itu, Wong Chew Hann berkata pelabur asing membeli bersih dalam 17 daripada 21 hari dagangan, mengecilkan jualan bersih mereka untuk tempoh 11 bulan pertama 2023 (11M 2023) kepada RM2.6 bilion.
“Pegangan pelabur asing dalam pasaran ialah 19.6% setakat akhir November 2023, susut 1 mata peratusan setakat tahun ini, iaitu paras terendah bagi beberapa tahun,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Wong berkata ekuiti Malaysia menonjol dalam pasaran ASEAN memandangkan pelabur asing menjual sebahagian besar ekuiti di pasaran ASEAN yang lain pada November iaitu Thailand (AS$550 juta), Vietnam (AS$160 juta), Indonesia ID (AS$30 juta), manakala terdapat belian bersih kecil bagi Filipina (AS$20 juta).
Menurut Wong, pembelian pelabur asing pada November sebahagian besarnya tertumpu kepada dua bank terbesar iaitu Public dan Maybank, diikuti oleh YTL Corp, YTL Power dan Genting dan sebaliknya, jualan teratas mereka pada bulan itu ialah Nestle, Hong Leong Financial Group, CIMB, Sunway dan Capital A.
Bagi 11M 2023, pelabur asing mencatat penjualan tertinggi dalam kaunter CIMB, Petronas Chemicals, RHB, Public Bank dan Hong Leong Bank dan pembelian teratas ialah YTL Power, YTL Corp, Gamuda, Maybank dan Malaysia Airports.
Mengulas tentang pelabur institusi tempatan, Wong berkata mereka menjual RM1.41 bilion pada November berbanding pembelian RM2.3 bilion dalam Oktober, menjadikan belian bersih mereka untuk 11M 2023 kepada RM3.47 bilion.
Manakala pelabur runcit menjual RM141 juta pada November, lebih tinggi daripada RM115 juta dalam Oktober, menaikkan jualan bersih mereka setakat tahun ini kepada RM880 juta.
“Pergerakan perdagangan (kecuali transaksi perniagaan secara langsung) pada November dalam kalangan pelabur asing, pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing sebanyak 33.5%, 40.1% dan 26.4% dengan purata nilai harian (ADV) ekuiti sebanyak RM3.13 bilion berbanding RM2.24 bilion bagi Oktober,” tambahnya.
Bagi bon ringgit pula, Wong berkata ia mencatat aliran keluar bagi bulan ketiga berturut-turut bagi tahun ini pada Oktober pada kadar perlahan berjumlah RM2.6 bilion berbanding RM4.4 bilion dan RM5 bilion masing-masing dalam September dan Ogos berikutan sentimen risiko global terjejas di tengah-tengah peningkatan pesat hasil perbendaharaan Amerika Syarikat.
“Aliran keluar hutang berjumlah RM12 bilion sepanjang tempoh tiga bulan dalam Ogos hingga Oktober 2023, mengurangkan jumlah pegangan asing kepada RM267.2 bilion.
“Setakat tahun ini, aliran masuk masih besar berjumlah RM20.4 bilion dalam tempoh 10 bulan pertama 2023. Bahagian asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) jatuh kepada 34.4% dan MGS+GII (Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan) kepada 22.7%,” katanya.
Menurut Wong, termasuk RM2.2 bilion jualan bersih pelabur asing dalam ekuiti Malaysia pada Oktober 2023, aliran portfolio mencatat aliran keluar RM4.8 bilion.
Sementara itu, aliran portfolio positif secara kumulatif untuk 10M 2023 turun kepada RM16.2 bilion berbanding paras tertinggi RM29.6 bilion pada Januari hingga Julai 2023, dengan aliran keluar sebanyak RM13.4 bilion pada Ogos hingga Oktober sahaja. - DagangNews.com








