KUALA LUMPUR 26 Julai - Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), ahli Kumpulan MMC, bersama-sama Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) terus memperkasa perubahan budaya dan minda masyarakat dalam memelihara alam sekitar melalui pelancaran program Eco Lestari, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kelab Alami Mukim Tanjung Kupang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, program tersebut mampu menjadi sebuah wadah terbaik dalam membina budaya dan minda masyarakat dalam memelihara alam sekitar dengan matlamat untuk membina komuniti hijau yang mampan melalui amalan mesra alam dan kesukarelawanan.
"Segala usaha dipihak kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk menjaga kelestarian alam sekitar. Ia memerlukan kerjasama dan penglibatan seluruh masyarakat," katanya dalam kenyataan media di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, program Eco Lestari mempunyai matlamat untuk membina komuniti hijau yang mampan melalui amalan mesra alam dan kesukarelawanan dengan penglibatan secara aktif masyarakat, terutamanya dari peringkat persekolahan.
"Kami melantik 30 pelajar berpotensi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pendas Laut, SK Tg Kupang dan SMK Tg Adang sebagai duta program Eco Lestari yang dinamakan ‘ECO Warriors’.
"Mereka akan didedahkan kepada ilmu teori dan praktikal yang akan dikelolakan oleh Kelab Alami, satu badan bukan kerajaaan yang memfokuskan kepada pemeliharaan alam sekitar di sekitar Mukim Tanjug Kupang, Gelang Patah," katanya dalam kenyataan media di sini.
Dalam pada itu, Pengurus Besar LPJ, Monaliza Suhaimi pula berkata, menjadi aspirasi LPJ untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar di setiap lapisan masyarakat dan pada masa yang sama menanam rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama.

"Sebagai sebuah pihak berkuasa pelabuhan yang bertanggungjawab mengurus kemajuan industri pelabuhan di Johor, LPJ terus komited menyokong agenda nasional kerajaan untuk menghijaukan Malaysia dengan mempergiatkan aktiviti-aktiviti kelestarian alam sekitar selari dengan perkembangan pelabuhan," katanya.

Dengan matlamat untuk Membina Komuniti Mampan, Hijau & Saksama Melalui Pemerkasaan Kebolehcapaian dan Pertumbuhan Ekonomi Untuk Negeri Johor, Rangka Kerja Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTP dibahagikan kepada tiga tunjang utama, Program Eco Lestari, Program Kasih Lestari dan Program Harapan Lestari. - DagangNews.com








