Pavilion REIT selesai ambil alih Pavilion Bukit Jalil, jumlah aset meningkat kepada RM8.3 bilion | DagangNews Skip to main content

Pavilion REIT selesai ambil alih Pavilion Bukit Jalil, jumlah aset meningkat kepada RM8.3 bilion

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) telah memuktamadkan pengambilalihan Pavilion Bukit Jalil bernilai RM2.2 bilion daripada Malton Berhad.

 

Kejayaan tersebut meningkatkan jumlah aset di bawah pengurusan kepada RM8.3 bilion daripada RM6 bilion sebelumnya.

 

Berikutan pemenuhan perjanjian jual beli (SPA) dan penempatan persendirian peringkat pertama yang terlebih langganan, Pavilion REIT kini memiliki pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, mewarisi kunci kira-kira dan pendapatannya.

 

Pavilion REIT dan anak syarikat Malton, Regal Path Sdn Berhad telah memeterai SPA tersebut pada November tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd, Datuk Philip Ho berkata strategi mantap penyewaan Pavilion Bukit Jalil dan peranannya sebagai tuan rumah pelbagai acara tempatan dan antarabangsa, telah berjaya memacu kadar penghunian pusat beli-belah itu kepada lebih 82% dalam tempoh yang agak singkat.

 

 

Datuk Philip Ho
Datuk Philip Ho

 

 

“Dengan menggabungkan jenama runcit dan kedai konsep baharu, sambil menganjurkan pameran dan acara terkenal, visi strategik pusat beli-belah itu menyokong pangkalan pengunjung dan pembeli lebih luas, menjadikannya cadangan yang semakin menarik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pavilion REIT telah disenaraikan pada 7 Disember 2011 dengan pendedahan terbesar kepada sektor runcit oleh mana-mana REIT Malaysia tersenarai.

 

Pada 9:32 pagi ini, saham Pavilion REIT menokok 1 sen atau 0.8% kepada RM1.23 dengan modal pasaran berjumlah RM4.49 bilion. -DagangNews.com