Pasdec, Sedimi Property bekerjasama bangunkan projek hartanah di Kuantan | DagangNews Skip to main content

Pasdec, Sedimi Property bekerjasama bangunkan projek hartanah di Kuantan

KUALA LUMPUR 31 Jan - Pasdec Holdings Berhad bekerjasama dengan pemaju hartanah bagi membangunkan tanahnya di Bandar Indera Mahkota di Kuantan menjadi kawasan kediaman.

 

Anak syarikatnya, Pasdec Corp Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian usaha sama dengan Sedimi Property Development Sdn. Bhd. bagi membangunkan 238 lot pajakan kosong dengan keluasan keseluruhan 60,049 meter persegi.

 

Pembangunan itu terdiri daripada 157 unit rumah teres satu tingkat di bawah fasa pertama, dan 80 unit lagi rumah berkembar satu tingkat di bawah fasa kedua, katanya dalam satu maklumah kepada Bursa Malaysia.

 

Sedimi Property Development dimiliki oleh Tech Max Construction Sdn. Bhd. sebanyak 30% manakala 20% lagi oleh Lim Chee Ling selain 15% oleh Chen Kim Lon, Ee Cao Xian dan Ng Chee How, dan 5% oleh Shariffah Maznee Noor Osman.

 

Sebagai pemilik tanah, Pasdec Corp berhak mendapat 33% daripada unit yang dibangunkan, tidak kurang daripada 52 unit rumah teres dan 26 unit rumah berkembar, dengan jumlah nilai jualan tidak kurang daripada RM32.43 juta.

 

Pasdec berkata, usaha sama itu akan membolehkannya mempercepatkan projek tanpa beban kewangan tambahan kepada kumpulan sekali gus membolehkan ia memberi tumpuan kepada projek pembangunan sedia ada dan baharu yang lain.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022 (9MFY22), Pasdec melaporkan keuntungan bersih RM327,000, berbanding kerugian bersih RM4.71 juta pada 9MFY2021, walaupun hasil susut 39% kepada RM18.29 juta daripada RM29.84 juta .

 

Tunai dan baki bank kumpulan berjumlah RM25.7 juta pada akhir 9MFY2022, meningkat daripada RM19.72 juta pada akhir FY21.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Pasdec Datuk Seri Tew Kim Thin ialah pemegang saham terbesar kumpulan itu dengan 0.13% kepentingan langsung dan 46.8% kepentingan tidak langsung, diikuti oleh kerajaan Pahang dengan 26.6% kepentingan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang. - DagangNews.com