KUALA LUMPUR 15 Dis - Pasaran saham Malaysia pada tahun hadapan dijangka lebih rancak dan berprestasi lebih baik disokong oleh makroekonomi yang kian pulih.
RHB Investment berkata terdapat pelbagai sebab untuk optimis terhadap prospek bagi 2024 dengan banyak berita buruk sudah pun diambil kira.
Menurut firma penyelidikan itu, pihaknya berpendapat bahawa dasar monetari AS bertukar kepada lebih berhati-hati, di samping lebih positif terhadap pemulihan makroekonomi China dan senario kadar inflasi AS yang diramalkan terus bertahan dan tinggi.
"Keadaan politik tanah air yang lebih stabil dan janji untuk melaksanakan dasar reformasi ekonomi yang amat diperlukan negara boleh membantu menyokong kedudukan nilai mata wang ringgit," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Investment menyarankan pelabur membeli saham pada harga lebih murah, dengan memberi tumpuan kepada syarikat berprestasi lemah dan syarikat dengan permodalan pasaran kecil-sederhana.
Menurut firma itu, Bahagian Ekonomi RHB menjangkakan pasaran global berkembang pesat pada 2024 dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur melepasi paras konsensus untuk AS dan China.
"Kami meramalkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) mencecah paras puncak antara 5.5% hingga 5.75% yang berada dalam anggaran konsensus walaupun penurunan kadar tidak dijangka berlaku sehingga separuh kedua 2024 (2H24).
"Meskipun tanda-tanda awal pemulihan ekonomi kelihatan di China, kami ingin menekankan beberapa risiko inflasi pada separuh pertama 2024 (1H24) berikutan faktor tarikan permintaan dan harga komoditi lebih tinggi.
"Data kadar inflasi yang berterusan tinggi ini menunjukkan persekitaran dasar monetari yang semakin tinggi untuk tempoh lebih lama dan nilai mata wang dolar AS yang lambat menurun," tambahnya.
Oleh yang demikian, RHB Investment berkata peningkatan ekonomi China akan memberikan manfaat kepada rantau ASEAN didorong oleh peningkatan sektor perdagangan dan pelancongan.
Walaupun usaha pembaharuan ini dari sudut gambaran lebih meluas memberikan petanda baik buat prospek pendapatan korporat Malaysia, firma itu berkata rekod prestasi terkini dalam aspek ini dilihat lemah dan bertentangan dengan usaha ekonomi sebelum ini dalam korporat Malaysia.
Selain itu, firma itu berkata keyakinan pasaran terhadap iltizam politik untuk membuat keputusan sukar berhubung reformasi ekonomi dan fiskal kelihatan tetap rapuh, selain dengan tempoh pelaksanaan yang singkat sebelum menghampiri Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Penambahbaikan penting yang diambil dalam mengurus kewangan awam dilihat terbatas berikutan suasana politik yang tidak begitu baik dan besar kemungkinan usaha reformasi tersebut dipolitikkan," katanya.
RHB Investment berkata buat masa ini, kestabilan politik negara terus dinikmati walaupun cubaan berterusan untuk menjejas kestabilan kerajaan boleh mendatangkan kesan buruk ke atas sentimen dan pelaburan baharu. - DagangNews.com








