Pasaran Oracle Netsuite berkembang 3 kali ganda | DagangNews Skip to main content

Pasaran Oracle Netsuite berkembang 3 kali ganda

PointStar

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pasaran platform Oracle Netsuite yang dijalankan oleh syarikat perunding teknologi cloud terkemuka, PointStar Pte Ltd (PointStar) berkembang tiga kali ganda bagi tahun kewangan 2020.

Ketua Pegawai Operasinya, Michelle Alphonso berkata, hasil pengembangan tersebut telah memberi peluang kepada syarikatnya untuk menerima anugerah Oracle NetSuite 2020 ASEAN Top Volume Partner.

"Akibat COVID-19, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan cloud dilihat meningkat. Dalam tempoh ini, PointStar bekerjasama rapat dengan Oracle NetSuite untuk menarik lebih banyak syarikat di ASEAN untuk memilih cloud.

"Kami turut berbesar hati dan berbangga menerima anugerah ini kerana ia adalah lambang kepercayaan yang diletakkan oleh para pelanggan kepada kami terhadap usaha keras yang telah kami berikan untuk membantu mereka menyertai Oracle NetSuite iaitu peneraju bidang Perancangan Sumber Perusahaan Cloud (ERP)," katanya dalam satu kenyataan.

PointStar

Oracle NetSuite merupakan platform perniagaan berasaskan cloud yang merangkumi ERP, analisis, pengurusan khidmat pelanggan, perdagangan, pemasaran secara e-mel, automasi perkhidmatan profesional dan pengurusan modal insan.

Melalui platform tersebut, syarikat-syarikat dapat memudahkan proses kerja dalam masa yang singkat dengan menggabungkan aplikasi alat mudah alih.

Syarikat PointStar berpangkalan di Singapura dan memiliki cawangan di tiga buah negara lain iaitu Malaysia, Indonesia dan Vietnam serta menjadi peneraju kepada Oracle NetSuite di rantau ASEAN.

Anugerah Oracle NetSuite 2020 ASEAN Top Volume Partner yang berjaya diterima PointStar
Anugerah Oracle NetSuite 2020 ASEAN Top Volume Partner yang berjaya diterima PointStar

 

Tambah Alphonso, selain Oracle NetSuite, PointStar turut menawarkan perkhidmatan cloud yang lengkap daripada pelbagai perkhidmatan teknologi terkemuka seperti Google Cloud dan Cisco Meraki.

"Penggunaan teknologi cloud dilihat menjadi satu pilihan kepada syarikat-syarikat untuk menggerakkan perniagaan dan meningkatkan daya tahan operasi dengan kos yang rendah.

"Syarikat-syarikat kini telah menyedari bahawa mereka perlu mengubah cara pengoperasian ke arah cloud bagi membolehkan mereka beroperasi di mana sahaja seperti akses jarak jauh kepada kakitangan yang bekerja dari rumah," jelas Alphonso. - DagangNews.com