KUALA LUMPUR 3 Sept - MIDF Research melihat lebih banyak potensi kenaikan untuk pasaran ekuiti tempatan dalam beberapa bulan akan datang didorong oleh aliran masuk dana asing ke dalam aset ringgit yang disokong oleh kelemahan relatif dolar Amerika Syarikat (AS) akibat jangkaan pemotongan kadaroleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
Firma penyelidikan itu berkata, faktor lain yang mendorong ialah pelaburan berdasarkan prospek makro dan keuntungan korporat yang sihat serta penilaian saham yang agak murah.
Secara keseluruhan, katanya, musim keputusan suku kedua tahun 2024 (2Q24) adalah agak positif seperti yang dibuktikan oleh peningkatan semula anggaran keuntungan keseluruhan bagi kedua-dua komponen FBM KLCI yang dipantau MIDF dan MIDFR Universe.
"Kami mengekalkan sasaran FBM KLCI, FBM Hijrah, dan FBM70 untuk tahun 2024 masing-masing kepada 1,750 mata atau PER25 sebanyak 14.8x, 14,100 mata atau PER25 sebanyak 20.4x, dan 18,900 mata atau PER25 sebanyak 15.9x," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut MIDF Research, pada 2Q24, keuntungan keseluruhan yang dilaporkan oleh syarikat-syarikat di bawah liputan MIDFR Universe adalah RM23.8 bilion.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelabur asing beli RM1.5 bilion ekuiti tempatan minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research
Kata firma tersebut, ia mencatatkan pertumbuhan positif dari segi tahun ke tahun sebanyak 29.1% YoY dan dari segi suku tahun ke suku tahun (+14.0% QoQ).
"Sektor-sektor seperti Tenaga, Perkhidmatan Kewangan, Industri P&S, Perladangan, Hartanah, REIT, Telekomunikasi & Media, dan Utiliti mencatatkan peningkatan keuntungan keseluruhan (seperti yang dilaporkan) pada 2QCY24 jika dibandingkan dengan suku tahun sebelumnya dan tempoh yang sama tahun lalu.
"Sebaliknya, hanya sektor P&S (produk dan perkhidmatan) Pengguna yang mencatatkan pertumbuhan keuntungan yang negatif dari segi berurutan dan tahun ke tahun pada 2QCY24," jelasnya.

Sementara itu, mengenai sektor pembinaan, MIDF Research berkata, empat syarikat termasuk IJM Corp, Sunway Construction dan Cahya Mata Sarawak telah memenuhi jangkaan pada 2Q24 manakala MRCB dan Malayan Cement menghasilkan kejutan positif untuk suku tahun tersebut.
Katanya, sektor ini akan menyaksikan peningkatan bil Tuntutan kemajuan pada suku-suku akan datang seiring dengan kemajuan pembinaan yang meningkat, di samping jumlah projek yang bakal dilaksanakan semakin baik, didorong oleh projek bangunan industri dan jangkaan pelaksanaan pekerjaan awam yang lebih kuat pada separuh kedua 2024.
"Kami kekal 'Positif' terhadap sektor pembinaan, dengan pilihan utama kami adalah IJM Corp (Beli, TP: RM3.89) dan Malayan Cement (Beli, TP: RM6.60)," ujarnya. - DagangNews.com








