KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pasaran buruh Malaysia mengekalkan trend peningkatan pada suku kedua 2023, mencatatkan 16.73 juta tenaga buruh walaupun dengan pertumbuhan perlahan dalam guna tenaga dan penurunan lebih kecil bagi penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan permintaan terhadap buruh oleh industri telah menyebabkan pertambahan guna tenaga walaupun pada kadar yang perlahan pada suku kedua 2023, membawa kepada pengurangan kadar pengangguran berbanding setahun lalu.
Katanya, keadaan ini telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi yang positif di samping persekitaran global yang mencabar dengan merekodkan pertumbuhan yang sederhana sebanyak 2.9% pada suku kedua 2023 berbanding pertumbuhan 5.6% pada suku sebelumnya.
"Mencerminkan perkembangan dalam ekonomi, tenaga buruh meningkat 2.4% untuk mencatatkan 16.73 juta orang, kebanyakannya disumbangkan oleh kenaikan 2.8% berbanding 3.1% pada suku pertama 2023 dalam bilangan penduduk bekerja, merangkumi 16.15 juta orang pada suku kedua 2023.
"Sebaliknya, bilangan penganggur menurun 9.5% tahun-ke-tahun kepada 581,400 orang berbanding 568,900 pada suku pertama 2023, mencatatkan kadar pengangguran negara pada 3.5% semasa suku kedua 2023.
"Penyertaan buruh mencatatkan kadar tertinggi berbanding tempoh sebelum pandemik, untuk merekodkan 70%, meningkat 0.8 mata peratus daripada suku yang sama tahun 2022," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Melihat kepada situasi guna tenaga tidak penuh, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan dalam guna tenaga dan upah sepanjang suku kedua 2023 menyebabkan bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatatkan penurunan 13.6% berbanding suku yang sama tahun 2022, dengan sejumlah 280,400 orang.

"Sehubungan itu, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa menurun 12.5% kepada 186,300, dengan kadar 1.2%.
"Sebaliknya, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang merujuk kepada mereka yang mempunyai berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah merekodkan seramai 1.91 juta orang dengan kadar 37.4% berbanding 1.8 juta orang dengan kadar 36.7% pada suku kedua 2022.
"Walaupun terdapat peningkatan, hakikatnya lebih daripada satu pertiga penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari berada dalam pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah," katanya.
Beliau berkata, jawatan dalam sektor swasta meningkat sebanyak 2.4% berbanding 2.7% pada suku pertama 2023 kepada 8.83 juta jawatan.

Katanya, jawatan diisi merangkumi 97.9 % daripada jumlah jawatan dan berkembang 2.5% kepada 8.64 juta manakala peluang pekerjaan dalam ekonomi ditunjukkan oleh bilangan kekosongan merangkumi 2.1% daripada jawatan, berkurang 0.9 %kepada 189,600 kekosongan.
"Lebih separuh daripada kekosongan jawatan pada suku kedua 2023 adalah dalam sektor pembuatan, yang menyumbang 108,000 kekosongan, sebahagian besarnya dalam subsektor produk elektrik, elektronik & optik yang merekodkan 34,200 kekosongan jawatan.
"Situasi permintaan buruh yang lebih baik pada suku tersebut juga ditunjukkan oleh peningkatan 8.6% bagi bilangan pewujudan jawatan, merangkumi 31,900," katanya. - DagangNews.com








