KUALA LUMPUR 30 Jan - Operasi Kenny Rogers Roasters dan Starbucks Malaysia akan terus memacu pendapatan Berjaya Food Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) dan seterusnya.
AmInvestment Bank Researh menaikkan unjuran keuntungan bagi FY23 sebanyak 11.3% manakala 16.7% dan 17.6% masing-masing bagi FY24 dan FY25 selepas mengambil kira anggaran margin yang lebih bagi kedua-dua operasi tersebut.
Firma itu menjangkakan prestasi Starbucks akan kekal berdaya tahan, bergantung pada pengembangan rangkaian kedai yang berterusan ditambah dengan pengoptimuman kos yang berhemat.
"Ini terbukti dengan keupayaannya mengekalkan tahap margin operasi daripada pertengahan hingga tinggi pada suku pertama FY23.
"Dengan pembukaan semula sempadan China, ia dijangka menarik lebih banyak jejak daripada kemasukan pelancong China," katanya dalam nota kajian hari ini.
Kenny Rogers juga mempamerkan prestasi yang baik sepanjang 2021 dan 2022 dengan mengurangkan kerugian operasi sebanyak 83.8% kepada RM2 juta.
Ia kembali pulih pada 2022 dengan keuntungan operasi sebanyak RM8 juta walaupun harga ayam terus meningkat terutamanya didorong pengoptimuman kos yang berkesan.
Dalam pada itu, AmInvestment berpendapat operasi kafe bakeri yang baru dibuka di Malaysia, Paris Baguette dengan cawangan pertama di Pavilion KL mampu menyumbang kepada hasil kumpulan dalam tempoh jangka panjang.
Paris Baguette Malaysia ialah usaha sama 50:50 dengan Paris Baguette Singapore plc, di mana Berjaya Food memegang hak eksklusif sebagai lesen operasi tempatan.
Sehingga kini, kafe berkenaan yang diasaskan pertama kali di Korea Selatan pada 1945 semakin berkembang kepada 4,000 cawangan di seluruh dunia.
Berjaya Food kini dalam perancangan untuk membuka cawangan kedua di Pavilion Bukit Jalil dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Malah, kumpulan juga menyasarkan untuk membuka 5 cawangan setahun dengan peruntukan modal (capex) sebanyak RM10 juta pada tahun ini.
"Melihat kepada kejayaan jenama bakeri ini, kami jangkakan rangkaian kafe ini mampu menyumbang secara positif kepada kumpulan dalam tempoh jangka masa panjang," jelasnya.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' terhadap Berjaya Food dengan nilai wajar lebih tinggi pada RM1.25 daripada RM1.03 sesaham.
Setakat 11.47 tengah hari, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.07 dengan 179,200 saham diniagakan. - DagangNews.com








