Di Wellington, New Zealand, awal dekad 1980-an, sebagai pelajar Tingkatan Tujuh di Wainuiomata College, saya berpeluang menghadiri majlis rasmi sempena lawatan sulung Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ke bumi Kiwi.
Dengan penuh semangat anak muda di perantauan, saya duduk di barisan belakang bersama perwakilan pelajar, sambil memerhati para menteri dan tokoh kerajaan yang menyertai rombongan.
Antara mereka, saya masih ingat kelibat Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pendidikan dalam pentadbiran negara.
Tidak saya sangka, saat Tun Mahathir berseloroh dengan saya di tengah-tengah dewan, gelak tawa bergema dari seluruh perwakilan Malaysia.
Gurau spontan itu menjadi kenangan kekal—antara seorang negarawan yang baharu menjejakkan kaki ke persada kuasa dengan pelajar muda yang masih mentah di rantau orang. Ia bukan sekadar pertemuan, tetapi permulaan kepada hubungan penuh rasa antara rakyat dan pemimpin.

Namun takdir sejarah tidak sentiasa lurus. Tahun 1998 datang membawa badai yang mengejutkan dunia dan menggegarkan nurani saya. Apabila Tun Mahathir memecat dan memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hati saya bagai disiat. Saya, yang ketika itu sudah dewasa dan matang, merasa terpanggil untuk berdiri bersama gerakan reformasi.
Jiwa saya memberontak kerana tindakan itu dirasakan menodai keadilan. Saya bersuara menyokong Anwar, bukan kerana menolak Mahathir sepenuhnya, tetapi kerana percaya bahawa cinta kepada pemimpin tidak wajar membutakan nurani kepada yang hak. Saya menyertai reformasi dan dibuang kerja dari TV3.
Beberapa tahun kemudian, hidup membawa saya ke Dubai. Di situlah saya menyambung langkah sebagai seorang profesional dalam sektor teknologi, dan akhirnya dilantik sebagai pengurus besar di Dubai Internet City—pusat inovasi digital yang semakin mencorak masa depan dunia. Sekali lagi takdir mempertemukan saya dengan Tun Mahathir, kali ini dalam suasana jauh berbeza.
Tun datang melawat Dubai Internet City sebagai Perdana Menteri Malaysia yang popular dan berwibawa. Di hadapannya berdiri barisan korporat ternama Malaysia—tokoh-tokoh seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Vincent Tan, Ananda Krishnan, Tan Sri Azman Mokhtar, dan hampir dua puluh orang tokoh perniagaan lain.

Saya, seorang anak Malaysia yang ketika itu tidak ternama, diperkenalkan oleh Pengerusi Dubai Internet City sebagai “wakil dan duta Malaysia dalam dunia teknologi di Dubai Internet City.”
Tun mendengar penerangan saya dengan penuh minat dan kesungguhan. Tidak ada sedikit pun riak sinis pada wajahnya; sebaliknya, beliau menunjukkan penghargaan kepada usaha anak bangsa di luar tanah air.
Kemudian saya membawa Tun ke seluruh projek sambil berjalan dan Tun mendengar penerangan saya. Saya terasa seperti dihargai semula—seolah-olah luka reformasi sedikit terubat dalam diam.
Tahun 2010 pula menyaksikan satu lagi pertemuan bersejarah. Sebagai pengarah syarikat kepada Yusuf Islam, bekas artis terkenal yang kini menjadi pendakwah Islam, saya berpeluang mengiringi beliau dalam beberapa lawatan ke Kuala Lumpur.

Antara detik yang tidak dapat saya lupakan selain ke pejabat untuk makan tengahari ialah kunjungan kami ke Menara Berkembar Petronas dan pejabat Tun Mahathir di tingkat tertinggi bangunan itu. Di sana, saya sekali lagi bertemu Tun—kini sebagai tokoh yang telah meniti usia, namun tetap teguh dalam pengaruh dan pemikiran.
Kami berbual dengan mesra dan santai.
Saya, kini warga emas yang pernah bergurau dengan beliau di Wellington, berdiri di hadapan negarawan yang saya hormati, dengan sejarah yang panjang dan berliku antara kami.
Saya tidak menafikan—saya membesar dalam dekad 1980-an, di bawah kepimpinan Tun. Zaman itu aman, selamat, dan penuh harapan. Saya dan rakan-rakan bebas bermain di taman, meneroka jalan-jalan di kota Kuala Lumpur hanya berbekalkan wang tambang bas mini dan keberanian yang naif. Ia mungkin tindakan yang sembrono, tetapi negara ketika itu cukup selamat untuk menjadi berani.
Saya masih ingat kemeriahan apabila negara mencari nama untuk kereta nasional pertama sewaktu saya di New Zealand. Rakan saya mencadangkan pelbagai, sambil bertanya saya apa yang akan saya hantar. Saya hanya senyum, saya terasa terlalu kecil untuk menyumbang kepada sesuatu yang besar.
Namun, apabila nama Proton Saga diumumkan, saya terpegun. “Benarkah kita ada kereta buatan sendiri?” Detik itu terasa seperti sihir—impian menjadi kenyataan apabila melihat Proton Saga di kampus universiti.
Di sekolah universiti saya mula menyedari perubahan besar yang dibawa kerajaan. Walaupun terpaksa menukar kursus dari senibina kepada sains komputer, saya akhirnya sedar bahawa semua itu hasil dasar pendidikan Tun yang mahu rakyatnya celik digital. Ia adalah visi jauh seorang pemimpin yang melihat dunia sedang berubah dan mahu rakyatnya bersedia.
Di New Zealand, apabila ditanya oleh warga Kiwi dari mana saya berasal, jawapan mereka hampir selalu sama setiap kali saya sebut “Malaysia” dan jawan Kiwi selalunya, “Ah, Mahathir.” Nama Tun mendahului segalanya. Beliau adalah wajah Malaysia di pentas dunia.

Saya tahu, kejayaan saya bukan semata-mata kerana nilai peribadi saya. Saya hanyalah anak Malaysia biasa. Tetapi peluang yang saya peroleh—menyambung pelajaran, menceburi dunia profesional dan usahawan dengan berjaya menjadi empat kali CEO syarikat antarabangsa, setelah OKU hidup berdikari—adalah hasil daripada dasar dan infrastruktur yang dibina zaman Tun.
Tanpa itu, saya mungkin menjadi seperti ramai insan lain yang gagal bukan kerana malas, tetapi kerana tiada tangan negara yang mengangkat mereka.
Sewaktu di TV3, saya masih ingat satelit MEASAT, LIMA di Langkawi, litar F1 di Sepang, Koridor Raya Multimedia, dan tentu sekali Menara Berkembar Petronas yang megah berdiri. Kami mula menghasilkan barangan sendiri—cerek, periuk nasi, kipas angin. Ia seperti gelombang kebangkitan, dari sawah padi dan ladang getah kepada sebuah Malaysia moden yang gagah melangkah.
KLIA muncul sebagai mercu tanda baharu dan tiba-tiba lapangan terbang dengan bumbung mengalir dan kaca berkilau muncul di hadapan—satu visi masa depan. Bukan lagi “Lapangan Terbang Antarabangsa Subang” yang panjang, tetapi KLIA—ringkas, global, elegan.
Dan kemudian, Putrajaya. Sebuah kota dibina dari kosong untuk pentadbiran negara. Setiap bangunan direka penuh keindahan dan kecekapan. Dua dekad kemudian, ia masih menakjubkan. Fikiran saya hanya mampu berkata: ini bukan kerja sehari dua, ini kerja pemimpin yang melihat jauh.
Hari ini, saya menulis bukan sebagai pemuja, tetapi sebagai seorang yang pernah bersetuju dan juga tidak bersetuju dengan Tun.
Namun pada usia ini, saya memilih untuk mengingati yang baik, mengenang yang indah. Tun memberi saya negara yang aman, sistem yang membolehkan saya membesar dan berjaya, dan inspirasi untuk terus memberi walau dalam keterbatasan selepas diserang strok.
Selamat Hari Lahir, Tun.
Saya doakan Allah terus merahmati kehidupan Tun. Dari lubuk hati seorang warga emas yang pernah menjadi saksi era keemasan Malaysia—terima kasih Tun, saya menyayangi Tun kerana Allah.
Dan semoga semua doa terbaik saya sampai ke langit demi Tun. - DagangNews.com








