Ketika pusat beli-belah moden dan platform e-dagang sering mendominasi perbincangan mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia, sudah tiba masanya kita kembali menumpukan perhatian kepada satu entiti perniagaan yang telah lama menjadi nadi ekonomi mikro: pasar malam.
Sempena Hari PKS 2025, kita perlu mengakui bahawa landskap PMKS di Malaysia tidak akan lengkap tanpa memberi penghormatan kepada peranan pasar malam dalam menjana pendapatan, merangsang ekonomi tempatan dan menyemai semangat keusahawanan akar umbi.
Ekonomi Pasar Malam: Tidak Formal Tapi Signifikan
Seperti yang dibentangkan dalam kertas perbincangan terkini kami bertajuk "Why Night Markets Matter?: A Review of Literature" dan "Hawkers and Hawking Space in Malaysia: A Case Study", pasar malam bukan sekadar pengalaman budaya semata-mata. Ia merupakan platform untuk kelangsungan ekonomi dan inovasi skala kecil.
Daripada peniaga makanan, penjual pakaian sehinggalah ke penjaja aksesori telefon bimbit, kebanyakan daripada mereka beroperasi dengan margin keuntungan yang sangat kecil, namun menjadi sumber pendapatan utama bagi banyak keluarga.
Walaupun kebanyakan mereka tergolong dalam sektor "tidak formal", impaknya tidak boleh dipandang remeh. Di Kuala Lumpur sahaja, lesen pasar malam merupakan bahagian terbesar dalam kategori lesen penjaja — hampir 34% daripada keseluruhan perniagaan tidak formal berdaftar.
Ini adalah satu angka yang besar dan tidak wajar diketepikan oleh penggubal dasar PKS mahupun perancang bandar.

Tapak Permulaan Usahawan Mikro
Pasar malam menyediakan sesuatu yang jarang ditawarkan oleh ruang niaga formal — halangan kemasukan yang rendah, modal permulaan yang kecil serta akses langsung kepada pelanggan yang pelbagai.
Bagi usahawan, pasar malam menjadi medan pertama untuk menguji produk, memahami kehendak pelanggan dan menambah baik tawaran mereka tanpa risiko tinggi atau beban birokrasi.
Dengan fleksibiliti sebegini, keusahawanan berasaskan komuniti ini wajar mendapat pengiktirafan.
Para peniaga yang memasang dan membongkar gerai mereka setiap hari bukan sekadar penyedia perkhidmatan, mereka ialah pelaku ekonomi tempatan, pencipta pekerjaan dan inovator dalam kapasiti mereka sendiri.
Menghubungkan Informal dengan Peluang
Meskipun peranan mereka penting, peniaga pasar malam masih sering terpinggir daripada agenda rasmi PKS. Akses kepada pembiayaan, latihan kemahiran dan sokongan pembangunan perniagaan adalah terhad, manakala perlindungan sosial kekal sebagai cabaran utama.
Cabaran hari ini bukan untuk memformalkan mereka secara paksa, tetapi bagaimana untuk menjembatani sektor informal ini dengan peluang. Pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan perlu bekerjasama bagi memastikan sistem sokongan boleh diakses, tanpa menjejaskan fleksibiliti yang menjadikan pasar malam kekal relevan.
Ini termasuklah pemberian geran mikro untuk naik taraf peralatan, memperkukuh kuasa tawar-menawar melalui koperasi yang berkesan, atau menyediakan sokongan digital secara sukarela bagi mereka yang ingin menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai atau platform dalam talian.

Potensi Pelancongan Yang Belum Dimanfaatkan
Pasar malam Malaysia juga mempunyai potensi besar yang belum diteroka sepenuhnya dalam sektor pelancongan. Negara seperti Taiwan dan Thailand telah berjaya menjadikan pasar malam sebagai tarikan utama pelancong, menjana jutaan kunjungan setiap tahun.
Pasar malam di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian makanan dan keunikan budaya tidak kurang hebatnya. Namun begitu, ia masih kekurangan penyelarasan dan promosi secara bersepadu.
Dengan kempen Visit Malaysia 2026 yang bakal berlangsung, kita mempunyai peluang untuk mengangkat beberapa pasar malam terpilih sebagai ikon budaya dan pelancongan. Ini bukan sahaja dapat memperkenalkan keunikan pasar malam kita kepada dunia, malah menonjolkan semangat keusahawanan mikro Malaysia di pentas global.
Masa Untuk Mengutamakan Pasar Malam Dalam Dasar PKS
Jika kita benar-benar serius mahu menyokong PMKS, khususnya perusahaan mikro, kita perlu mengubah tanggapan terhadap lokasi keusahawanan di Malaysia.
Ia bukan hanya berlaku di ruang kerja bersama, hab teknologi atau zon perindustrian. Ia juga berlaku di bawah kanopi, di lorong sempit dan di atas meja lipat di pasar malam dari Perlis hingga ke Sabah.
Para peniaga ini telah menjadi sebahagian daripada DNA ekonomi negara sejak sekian lama. Mengiktiraf peranan mereka bukanlah satu bentuk kebajikan, tetapi satu keputusan dasar ekonomi yang bijak.
Hari PKS ini, marilah kita perluaskan perbincangan. Ayuh keluar daripada bilik mesyuarat dan inkubator, dan raikan para usahawan yang menghidupkan pasar malam — satu gerai pada satu masa. - DagangNews.com








