Tarif AS dan Sidang Kemuncak ASEAN 2025: Cabaran dan Peluang PMKS Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif AS dan Sidang Kemuncak ASEAN 2025: Cabaran dan Peluang PMKS Malaysia

Oleh Dr Sharizal Hashim

Sejak 2018, dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) telah beralih ke arah dasar perlindungan diri sendiri atau protectionism, terutama melalui pengenaan tarif ke atas produk dari seluruh dunia, termasuk Malaysia!.

 

Langkah ini, di bawah slogan America First, bertujuan melindungi kepentingan industri domestik dan mengurangkan defisit perdagangan. Namun, dasar tersebut mencetuskan kesan berantai kepada rantaian perdagangan global, termasuk Malaysia – sebuah negara ekonomi terbuka yang amat bergantung pada eksport dan import.

 

Ketidaktentuan pasaran, peningkatan kos bahan mentah, serta gangguan rantaian bekalan menjadi cabaran utama, terutamanya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Sebagai tulang belakang ekonomi negara, PMKS kini berdepan tekanan yang semakin hebat dalam memastikan kelangsungan dan daya saing mereka.


 

Dr Sharizal Hashim
   Dr Sharizal Hashim

 


PMKS Malaysia: Di Antara Krisis dan Peluang

Walaupun berhadapan cabaran besar, krisis juga membuka ruang untuk penilaian semula terhadap keupayaan PMKS menyesuaikan diri. Ketangkasan organisasi (organisational agility) kini menjadi kriteria penting.

 

PMKS yang mampu membuat keputusan pantas, menyusun semula strategi kos dan operasi, serta meneroka pasaran baharu berpotensi untuk bukan sekadar bertahan, malah berkembang lebih kukuh.

 

Strategi konvensional seperti fokus tunggal kepada produk fizikal atau pasaran tradisional sudah tidak lagi memadai. Sebaliknya, PMKS perlu melangkah ke arah penciptaan nilai strategik – membentuk pasaran serantau, mempelbagaikan sumber pembekalan, dan menguasai teknologi digital.

 

ASEAN 2025: Platform Penjana Sinergi Serantau

Dalam konteks serantau, Sidang Kemuncak ASEAN 2025 hadir tepat pada masanya. Ia bukan sahaja medan diplomatik, tetapi juga platform penting dalam menyelaras dasar pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan tahan lasak.

 

Inisiatif seperti Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (Economic Community Blueprint) 2025 dan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 menekankan pentingnya integrasi digital dan keterangkuman PMKS dalam ekosistem ekonomi serantau.

 

Perkembangan ini memberi ruang besar kepada PMKS Malaysia untuk terlibat aktif dalam rantaian nilai serantau melalui akses pasaran digital, pelaburan teknologi, dan pematuhan kepada standard serantau seperti pensijilan halal dan hijau.

 

Ekonomi Digital dan Ketahanan Masa Hadapan

Dalam dunia pasca-pandemik, peralihan ke arah ekonomi digital bukan lagi pilihan, tetapi keperluan. PMKS perlu meningkatkan kehadiran mereka dalam platform e-dagang, mengoptimumkan sistem pengurusan digital, dan menggunakan data bagi membuat keputusan perniagaan yang lebih strategik.

 

Namun, cabaran utama ialah skala penglibatan yang masih kecil. Di sinilah peranan kerajaan menjadi kritikal dalam menyediakan ekosistem sokongan – termasuk subsidi pendaftaran platform digital, latihan berstruktur, serta insentif kepada inovasi produk dan eksport.

 

Contohnya, program eTRADE oleh MATRADE menyediakan insentif sehingga RM20,000 untuk syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui e-dagang rentas sempadan. Inisiatif seperti eBizLink yang dilancarkan pada 2024 turut membantu mempercepatkan transformasi digital dengan menyediakan akses kepada pemasaran global.

 

Kerjasama ASEAN Melalui Perjanjian Ekonomi Digital

Kerangka Perjanjian Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang sedang dibangunkan dijangka menjadi pemangkin kepada e-dagang serantau yang lebih teratur.

 

Melalui standard keselamatan siber, pembayaran digital, penyelesaian pertikaian dan perlindungan pengguna, DEFA mewujudkan kepercayaan rentas sempadan.

 

Bagi PMKS Malaysia, ini adalah peluang keemasan untuk memperluas pasaran, mengurangkan pergantungan kepada pasaran tradisional, serta mengukuhkan kehadiran dalam ekosistem ekonomi serantau yang semakin berasaskan digital.

 

Tanggungjawab Kerajaan dan Keperluan Dasar Adaptif

Transformasi PMKS memerlukan dasar nasional yang bersifat pemboleh daya. Institusi seperti SME Corp, MIDA dan MATRADE perlu merangka insentif yang sejajar dengan agenda digital dan hijau.

 

Penyertaan aktif Malaysia dalam ASEAN SME Policy Index 2024 turut menunjukkan bahawa kita memiliki kekuatan dasar dalam pelbagai aspek – daripada akses pasaran, inovasi teknologi, hingga kelestarian alam sekitar.

 

Namun begitu, dasar ini perlu lebih disasarkan dan mudah dicapai oleh PMKS yang kebanyakannya masih berdepan halangan dalam mendapatkan akses maklumat, pembiayaan serta pasaran eksport.

 

Peranan Masyarakat dan Ekonomi Domestik

Transformasi tidak akan berjaya tanpa penyertaan masyarakat. Pembelian produk tempatan bukan sekadar perbuatan patriotik, tetapi juga tindakan ekonomi yang berimpak tinggi.

 

Ia membantu meningkatkan permintaan domestik, mempercepat pertumbuhan perniagaan kecil, dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

 

Lebih daripada itu, masyarakat juga boleh menjadi pelabur melalui sokongan terhadap startup tempatan atau penyertaan dalam sukuk digital yang diterbitkan oleh perusahaan tempatan. Ini akan memacu aliran modal ke dalam sektor PMKS secara langsung dan demokratik.

 

Strategi Serantau yang Perlu Diterokai oleh PMKS Malaysia

Dalam mendepani tekanan ekonomi dunia, PMKS Malaysia disaran agar memanfaatkan secara aktif potensi kerjasama serantau melalui pendekatan berasaskan ASEAN.

 

  1. PMKS perlu membentuk konsortium atau koperasi eksport serantau bersama pemain industri dari negara ASEAN lain untuk menjana skala ekonomi, berkongsi kos logistik, dan memperkuat jenama serantau. 
     
  2. Mereka digalakkan menyertai lebih banyak inisiatif e-dagang lintas sempadan yang disokong ASEAN seperti ASEAN Online Sale Day dan platform di bawah kerangka DEFA ASEAN. 
     
  3. PMKS wajar menjajarkan produk dan perkhidmatan mereka dengan keperluan pensijilan serantau seperti ASEAN Good Regulatory Practices (GRP) dan memperluas pensijilan halal serta hijau yang diiktiraf ASEAN, bagi melicinkan proses kemasukan ke pasaran jiran. 
     
  4. Mereka perlu membangunkan keupayaan kakitangan dalam pengurusan eksport, logistik dan digitalisasi melalui program latihan bersama yang ditawarkan oleh Akademi PKS ASEAN. 
     
  5. Peningkatan pelaburan dalam teknologi hijau dan sertifikasi halal perlu digalakkan. Pelaburan hijau dan produk lestari adalah komponen utama ASEAN SME Policy Index dalam dimensi alam sekitar. Malaysia, bersama Thailand dan Singapura, mencatat skor tertinggi dalam dimensi ini. Sektor seperti makanan halal dan produk organik harus dipacu, kerana ia mempunyai nilai tinggi dan sambutan global — meningkatkan daya saing PMKS Malaysia.
     
  6. PMKS digesa membina jaringan strategik melalui misi perdagangan dan padanan perniagaan rentas sempadan yang dianjurkan oleh MATRADE dan Sekretariat ASEAN. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kehadiran PMKS dalam pasaran ASEAN, malah memberi kelebihan daya saing yang mapan dalam persekitaran ekonomi global yang semakin terfragmentasi dan bersifat blok serantau.

 

Era Baharu ASEAN

Kesimpulannya, gabungan tekanan tarif AS dan mekanisme kerjasama digital ASEAN menandakan satu era baharu yang penuh cabaran dan peluang untuk PMKS Malaysia.

 

Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bukan sekadar platform diplomatik, tetapi medan strategik untuk melancarkan transformasi digital dan hijau dalam sektor ini.

 

Dalam realiti global hari ini, krisis perlu dilihat bukan sebagai halangan, tetapi sebagai titik tolak kepada perubahan struktural yang lebih besar. Ketegangan perdagangan dunia yang berlaku membuka ruang bagi Malaysia – khususnya sektor PMKS – untuk melakukan anjakan paradigma yang bermakna.

 

Namun, kejayaan transformasi ini hanya dapat dicapai dengan sinergi yang jelas antara sektor awam, industri dan masyarakat.

 

Seperti yang ditegaskan dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023, negara yang akan muncul lebih kuat pasca krisis ialah mereka yang bukan sahaja bertindak balas, tetapi juga mampu menjadikan cabaran sebagai pemangkin kepada inovasi dan reformasi sistemik yang berterusan.

 

Malaysia perlu bertindak tegas dan proaktif — bukan sahaja untuk mengukuhkan ekonomi nasional tetapi juga mengukir model serantau yang seimbang, inklusif dan berdaya tahan. - DagangNews.com

 

 

Dr Sharizal Hashim merupakan Pensyarah kanan, Pusat Kajian Perniagaan Global dan Ekonomi Digital, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM