​​​​​​​RUU Perubahan Iklim: Mengapa Akauntan Kini Penentu Strategi Perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​RUU Perubahan Iklim: Mengapa Akauntan Kini Penentu Strategi Perniagaan

Oleh Sharath Martin, Perunding Kanan Dasar ACCA Asia Pasifik

Memandangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Malaysia (RUUPIN) dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini, perbincangan dalam kalangan komuniti perniagaan banyak tertumpu kepada isu utama seperti keperluan mandatori, penalti, dan kos pematuhan.

 

Pendekatan ini mengabaikan objektif yang lebih penting, iaitu mengiktiraf dan memberi respons kepada perubahan yang lebih mendalam tentang cara nilai perniagaan dan risiko perubahan iklim membentuk semula landskap ekonomi serta daya saing Malaysia.

 

Malaysia kini sedang memasuki satu fasa baharu apabila risiko dan impak perubahan iklim semakin memberi kesan langsung kepada ekonomi.

 

Perniagaan berorientasikan eksport perlu menyesuaikan diri dengan langkah perdagangan berkaitan karbon, manakala rantaian bekalan semakin terdedah kepada gangguan dan risiko iklim.

 

Dalam masa yang sama, akses kepada pembiayaan dan perlindungan insurans turut terjejas apabila institusi kewangan memperketatkan penilaian risiko berkaitan perubahan iklim.

 

Risiko Iklim dan Landskap Perniagaan Baharu

Dalam konteks ini, persoalan utama bagi perniagaan bukan lagi sekadar bagaimana untuk mematuhi keperluan RUUPIN, tetapi sejauh mana mereka benar-benar memahami kedudukan risiko dan peluang yang wujud, serta keupayaan untuk bertindak pantas dengan berkesan terhadap perubahan tersebut.

 

RUUPIN seharusnya mendorong organisasi melihat isu ini melangkaui operasi dalaman mereka. Risiko perubahan iklim tidak mengenal sempadan syarikat, undang-undang mahupun geografi.

 

Gangguan kepada pembekal, rangkaian logistik, atau pelanggan utama boleh menjejaskan kewangan, operasi, dan reputasi perniagaan.

 

Jika terlalu fokus kepada isu dalaman, perniagaan berisiko terlepas pandang kelemahan dan peluang lain dalam rantaian nilai yang turut memberi kesan langsung kepada nilai perniagaan.

 

Peranan Strategik Akauntan Profesional

Di sinilah peranan akauntan profesional di Malaysia perlu diberi penekanan baharu. Profesion ini tidak lagi boleh dilihat sekadar mengukur impak atau menyediakan laporan selepas keputusan dibuat.

 

Lebih penting, akauntan perlu dilibatkan lebih awal dalam perbincangan perniagaan untuk membantu kepimpinan mengurus risiko material, menilai pilihan yang ada, serta memahami bagaimana perubahan iklim mempengaruhi strategi, pelaburan, dan operasi.

 

Cabaran sebenar bukanlah kekurangan data atau maklumat. Kebanyakan organisasi sudah pun mempunyai pelbagai maklumat dan tahu cara mendapatkannya apabila diperlukan.

 

Isunya ialah bagaimana maklumat tersebut digunakan untuk memahami apa yang benar-benar memacu nilai perniagaan, serta risiko dan peluang yang boleh menjejaskannya. Ini memerlukan maklumat yang boleh dipercayai, saling berkaitan, dan mampu menyokong pertimbangan yang tepat.

 

Integriti, Pertimbangan dan Keputusan Perniagaan

Integriti pula bukan sekadar soal pematuhan pelaporan, tetapi keupayaan menggunakan maklumat bagi menyokong keputusan yang sukar.

 

Persoalan tentang produk mana yang masih relevan, pembekal yang membawa risiko tinggi, cara menanggung kos peralihan, dan hala tuju pelaburan tidak boleh dijawab melalui pematuhan semata-mata. Ia menuntut pertimbangan profesional, realiti komersial, dan keberanian untuk berdepan dengan hakikat yang mencabar.

 

Dalam konteks Malaysia dan juga Asia, perbincangan ini sememangnya tidak dapat dielakkan. Apabila dasar, jangkaan pasaran, dan piawaian antarabangsa terus berubah, perniagaan yang melihat isu iklim sekadar sebagai latihan pematuhan akan kekal bersifat reaktif.

 

Sebaliknya, organisasi yang mengintegrasikan risiko dan peluang berkaitan iklim ke dalam strategi teras akan berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk melindungi nilai perniagaan, menarik modal, dan mengekalkan daya saing.

 

RUUPIN sebagai Pemangkin, Bukan Kekangan

Justeru, RUUPIN wajar dilihat sebagai pemangkin perubahan, bukannya kekangan. Ia mempercepatkan peralihan yang sememangnya sedang berlaku.

 

Kerelevanan profesion perakaunan pada masa depan bergantung kepada keupayaannya melangkaui pematuhan dan memainkan peranan strategik dalam memelihara nilai perniagaan.

 

Akauntan profesional yang memimpin dengan wawasan, integriti, dan pemikiran berasaskan nilai mampu membantu membentuk perniagaan yang lebih berdaya tahan serta ekonomi Malaysia yang lebih kukuh.

 

Sebaliknya, mereka yang mengehadkan peranan kepada laporan semata-mata berisiko dipinggirkan dalam landskap perniagaan yang semakin menuntut nilai tambah.

 

Mengenai ACCA

ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) ialah badan profesional perakaunan global yang berperanan membentuk masa depan profesion ini sejak penubuhannya pada tahun 1904.

 

Dengan rangkaian antarabangsa yang luas, ACCA kini menyokong lebih 257,900 ahli serta 530,100 bakal ahli di 180 negara.

 

Melalui kelayakan bertaraf global, pembelajaran berterusan, dan pandangan strategik, ACCA membekalkan profesional dengan kemahiran perniagaan, kewangan, serta pertimbangan etika yang diperlukan untuk memimpin dan mencipta nilai mampan dalam organisasi serta ekonomi.

 

Berteraskan tujuan dan nilai terasnya, ACCA bekerjasama rapat dengan penggubal dasar, penetap piawaian, institusi pendidikan, dan rakan strategik lain bagi memperkukuh profesion perakaunan yang menitikberatkan aspek kemanusiaan, alam sekitar, dan kemakmuran bersama. - DagangNews.com