Ramadan dan Hak OKU Beribadah di Masjid | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ramadan dan Hak OKU Beribadah di Masjid

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

Ramadan kembali lagi, bulan yang dinanti dengan getar halus di dada. Bulan ini sepatutnya mendekatkan manusia kepada Tuhan dan sesama manusia.

 

Setiap kali hilal muncul, azan Maghrib kedengaran dengan nada lebih sayu dan lembut, seolah memanggil seluruh jiwa untuk pulang.

 

Namun, sebagai warga emas OKU, setiap kedatangan Ramadan membawa satu pertanyaan: adakah bulan ibadah ini benar-benar untuk semua, termasuk kami?

 

Di atas kertas, Ramadan adalah bulan kesaksamaan. Kaya dan miskin berdiri dalam saf yang sama. Perut lapar menyatukan rasa. Malam panjang dihidupkan dengan doa.

 

Tetapi di dunia nyata, sebelum saya sempat berdiri dalam saf solat tarawih, saya perlu mengharungi halangan: trotar retak, tanjakan hilang, laluan pejalan kaki terputus. Jalan ke masjid bukan sekadar jarak fizikal; ia adalah ujian keikhlasan dan ketahanan diri.

 

Setiap petang Ramadan, ketika manusia lain berburu waktu berbuka, saya mengira langkah. Dari rumah ke hentian bas, dari hentian ke stesen LRT, dari stesen ke masjid atau bazar Ramadan, setiap segmen sepatutnya bersambung tetapi sering terputus. Laluan taktil berhenti tiba-tiba. Longkang terbuka di sisi. Motosikal memotong di atas trotar.

 

Saya sering terpaksa memilih antara risiko dan pengasingan: turun ke jalan raya atau berpatah balik ke rumah.

 

Di sinilah saya mula sedar bahawa isu aksesibiliti bukan sekadar soal kejuruteraan bandar. Ia soal keadilan ibadah.

 

Apabila akses ke masjid sukar, tandas dan tempat wuduk tidak mesra OKU, ruang solat wanita warga emas tidak difikirkan, mesej yang sampai ialah ibadah kami sekadar pilihan, bukan hak.

 

Islam sendiri datang dengan roh inklusiviti. Rasulullah SAW memberi kelonggaran kepada yang uzur, memudahkan yang lemah, dan mengangkat maruah mereka yang terpinggir.

 

Fiqh Islam mengenali rukhsah, mengenali rahmah. Namun, dalam perancangan bandar dan kemudahan awam, nilai itu sering terhenti di mimbar, tidak sampai ke trotar.

 

Piawaian dan Realiti Lapangan

Malaysia bukan ketandusan piawaian. Kita memiliki Standard Malaysia: MS 1184 (reka bentuk sejagat), MS 1183 (keselamatan kebakaran untuk OKU), dan MS 1331 (akses ke bangunan dan persekitaran luar); semuanya selari dengan UNCRPD dan ISO 21542.

 

Piawaian menuntut kesinambungan perjalanan, keselamatan, kemudahan akses, dan maruah. Tetapi di lapangan, akses sering menjadi kosmetik. Ada tanjakan tetapi menuju ke jalan yang pecah. Ada laluan taktil tetapi berakhir di tiang. Di atas pelan, semuanya patuh; di dunia sebenar, separuh jalan gagal.

 

Kegagalan ini lebih ketara ketika Ramadan. Masjid bertambah sesak, aktiviti meningkat, pergerakan bertambah. Tanpa rangkaian pejalan kaki yang berfungsi, warga emas dan OKU terpaksa berundur. Bulan yang sepatutnya memperluas saf, akhirnya mengecilkan penyertaan.

 

Saya sering bertanya, adakah negara Islam lain menghadapi dilema yang sama? Jawapannya ya, tetapi ada yang memilih jalan berbeza.

 

Di Turkiye, banyak masjid lama dipulihara dengan penambahan tanjakan sensitif warisan, lif kecil, dan laluan rata tanpa merosakkan nilai sejarah.

 

Di Arab Saudi, khususnya Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, usaha besar dilakukan untuk memastikan akses kerusi roda, laluan khas, kenderaan elektrik, petugas terlatih, dan ruang ibadah yang mengambil kira warga emas dan OKU, terutama ketika Ramadan dan musim haji.

 

Contoh Antarabangsa dan Pelajaran untuk Malaysia

Di Emiriah Arab Bersatu, dasar “Universal Design” diterjemahkan ke dalam kelulusan bangunan dan penyelenggaraan. Masjid, stesen metro, dan ruang awam disepadukan dengan akses konsisten, bukan terpisah-pisah.

 

Di Indonesia, beberapa bandar besar mula memperkenalkan masjid mesra OKU dengan tandas, tempat wuduk, dan ruang solat yang direka bersama komuniti OKU. Arah tuju jelas: kemudahan akses adalah sebahagian daripada ibadah kolektif, bukan beban tambahan.

 

Pengalaman antarabangsa mengajar bahawa kemajuan tidak datang daripada slogan atau panel semata-mata. Ia datang daripada meletakkan piawaian sebagai asas, lalu mengikatnya ke dalam perancangan, perolehan, penyelenggaraan, dan audit. Panel, jika wujud, berfungsi sebagai mekanisme pelaksanaan dan pengawasan, bukan sekadar badan nasihat.

 

Di Malaysia, cadangan menubuhkan jawatankuasa aksesibiliti dan kemudahan akses sejagat sering kedengaran. Panel hanya bermakna jika mandatnya jelas: melaksanakan piawaian sedia ada, memantau bebas, dan melaporkan telus. Jika tidak, ia sekadar simbol yang menenangkan nurani, bukan menyelesaikan masalah.

 

Sehingga 31 Mac 2025, terdapat 767,243 OKU berdaftar di Malaysia. Angka sebenar lebih tinggi kerana pendaftaran tidak menyeluruh. Digabungkan dengan populasi warga emas yang meningkat, jutaan rakyat bergantung kepada kemudahan akses pejalan kaki yang selamat. Ramadan hanya mempercepat pendedahan kelemahan ini.

 

Akses Mesra Semua, Bukan Isu Minoriti

Aksesibiliti sering disalahfahami sebagai isu minoriti. Hakikatnya, laluan pejalan kaki yang baik mengurangkan kesesakan trafik, menggalakkan pengangkutan awam, menurunkan kadar kemalangan, menyokong gaya hidup sihat, dan meningkatkan daya tarikan pelancongan, termasuk pelancongan Islam. Kota mesra OKU adalah kota mesra semua.

 

Sebagai warga emas OKU, saya tidak meminta layanan istimewa. Saya meminta kesinambungan dari pintu rumah ke hentian bas, dari stesen ke masjid, dari bazar ke hospital. Saya meminta maruah agar tidak perlu merayu bantuan setiap kali ingin beribadah. Saya meminta keadilan agar Ramadan benar-benar menjadi bulan untuk semua.

 

Negara maju bukan diukur pada kilauan menara atau kepantasan rel semata-mata. Ia diukur pada bagaimana ia melayan mereka yang paling mudah terpinggir. Islam bukan sekadar ritual, tetapi rahmah diterjemahkan ke ruang dan struktur kehidupan.

 

Piawaian sudah ada. Contoh daripada negara Islam lain jelas. Yang tinggal hanyalah keberanian moral: meletakkan piawaian di hadapan, melaksanakan dengan konsisten, dan mengaudit dengan jujur.

 

Jika Ramadan mengajar tentang empati dan keadilan, biarlah empati itu sampai ke kaki lima, dan keadilan itu merata hingga pintu masjid.

 

Selagi laluan ke rumah Tuhan masih penuh halangan, kita harus bertanya jujur: Ramadan ini, untuk siapa sebenarnya?

 

Hari kita menjawab dengan tindakan, bukan janji, adalah hari Malaysia melangkah ke arah kemajuan inklusif dan bermaruah. - DagangNews.com