PRN17 Sabah: Krisis Tenaga, Air dan Keperluan Kepakaran Geologi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PRN17 Sabah: Krisis Tenaga, Air dan Keperluan Kepakaran Geologi

Gunung Kinabalu dirakam daripada Kampung Kiau di Ranau, Sabah oleh Adam Khair
Oleh PROF. MADYA Ts. P.Geol. DR. MOHD HARIRI ARIFIN dan P.Geol. Adam Hashim

Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) bakal diadakan hujung bulan November 2025. Pelbagai perkara menarik boleh kita ikuti tentang negeri di bawah bayu ini.

 

Namun, sebagai ahli geologi, penulisan ini memberi tumpuan khusus terhadap geologi Sabah. Setiap gunung, lembah malah pulau-pulau di Sabah menyimpan kisah geologi seperti pergerakan kerak bumi, gunung berapi purba dan tenaga geoterma dari perut bumi serta sumber mineral berharga seperti emas di sekitar Apas Kiri, Tawau.

 

Jika sebuah kerajaan menang dan mempunyai barisan kepimpinan yang celik geologi, ini membuka peluang untuk Sabah maju dan berjaya.

 

Secara geotektonik, Sabah terletak di hujung timur laut Borneo iaitu kawasan yang amat kompleks kerana berada di persimpangan tiga plat utama dunia (Plat Eurasia, Plat Filipina dan Plat Lautan Indo-Australia).

 

Interaksi antara plat-plat ini sejak puluhan juta tahun lalu membentuk wajah serta rupa bumi Sabah yang kita kenal hari ini – berbukit, berbanjar dan penuh lipatan batuan.

 

Sekitar 40 juta tahun lalu, kerak laut dari arah Laut Sulu dan Laut China Selatan mula menunjam ke bawah kerak Borneo. Proses ini menghasilkan tekanan besar dan haba yang menolak lapisan batuan laut dalam ke permukaan.

 

Hasilnya, terbentuk Banjaran Crocker dan Banjaran Trusmadi yang kini menjadi tulang belakang topografi pedalaman Sabah. Batuan yang dahulunya endapan laut dalam kini menjulang menjadi gunung-ganang yang subur.

 

Di tengah-tengah Banjaran Crocker berdiri megah Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara. Dari sudut geologi, Kinabalu bukan gunung berapi, sebaliknya gergasi granit yang terbentuk hasil intrusi magma ke dalam kerak bumi sekitar tujuh hingga lapan juta tahun lalu.


 

Kinabalu
Puncak Gunung Kinabalu. Gambar oleh  Ong Cheng Zheng

 


Apabila tekanan tektonik terus meningkat, batuan magma itu terangkat dan membentuk gunung granit yang kita lihat hari ini. Proses luluhawa selama berjuta tahun kemudiannya membentuk puncak yang tajam dan curam, menjadikan Kinabalu bukan sekadar mercu tanda negeri, tetapi juga simbol sejarah panjang bumi Sabah.

 

Aktiviti Tektonik Semasa dan Risiko Geobencana

Sabah turut menyimpan bukti kerak buminya masih hidup. Gempa bumi berskala sederhana yang melanda Ranau pada tahun 2015 dengan magnitud 6.0 membuktikan kawasan ini masih aktif secara tektonik.

 

Kajian menunjukkan gempa itu berpunca daripada pengaktifan semula sesar purba di bawah Banjaran Crocker. Aktiviti seperti ini penting difahami kerana berkait langsung dengan risiko geobencana, tanah runtuh dan kestabilan infrastruktur di kawasan tanah tinggi.

 

Dalam masa yang sama, kita tetap berharap lebih ramai pengunjung datang dan berasa aman serta yakin terhadap tahap keselamatan mereka.

 

Selain batuan dan sesar, satu lagi khazanah geologi Sabah yang menarik ialah kewujudan aktiviti geoterma dan lumpur volkano. Di Lahad Datu, Pulau Tiga dan Semporna, wujud kawasan di mana lumpur panas dan gas bumi keluar ke permukaan.

 

Ini menjadi tanda masih adanya tenaga haba dari kerak bumi di bawah sana yang menunggu untuk dimanfaatkan.

 

Kawasan seperti Sungai Jepun di Semporna turut dikenal pasti mempunyai potensi geoterma yang boleh dimajukan sebagai sumber tenaga boleh baharu masa depan, selain Apas Kiri yang pernah digerudi suatu masa dahulu sehingga melebihi 1 km dengan suhu sekitar 200°C.

 

Dari sudut sumber asli, geologi Sabah turut memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi negeri. Petroleum dan gas asli yang ditemui di perairan luar pesisir Sabah Timur terhasil daripada sistem geologi sedimen laut dalam yang kaya bahan organik.

 

Di daratan pula, sumber emas di Tawau, batu kapur di Lahad Datu, pasir silika dan bahan binaan lain semuanya terbentuk melalui proses geologi yang panjang dan dinamik.

 

Pelancongan Geologi dan Potensi Geopark Sabah

Namun, kekayaan sebenar Sabah bukan sekadar hasil mineral atau tenaga. Nilai pendidikan, warisan dan pelancongan geologinya jauh lebih besar.

 

Gunung Kinabalu, Taman Bukit Tawau, Pulau Tiga dan Lembah Kundasang bukan sahaja destinasi pelancongan alam semula jadi, tetapi juga “buku terbuka” tentang evolusi bumi.


 

Kundasang
Ladang ternakan lembu di Kundasang, berlatarbelakang Gunung Kinabalu - Gambar Ong Cheng Zheng

 


Jika dipelihara dan dibangunkan dengan bijak, kawasan-kawasan ini mampu menjadi asas kepada penubuhan Geopark Sabah, seiring usaha Malaysia mempromosi pelancongan berasaskan sains dan kelestarian alam.

 

Sabah mengingatkan kita bahawa bumi bukan entiti statik. Ia sentiasa bergerak, bereaksi dan berevolusi. Di sinilah kekuatan ilmu geologi dalam memahami perubahan yang berlaku di bawah kaki kita supaya pembangunan dan kehidupan dapat dirancang dengan lebih lestari dan selamat.

 

Sekitar September 2025, Tawau mengalami masalah bekalan tenaga elektrik akibat tanah runtuh yang memutuskan sistem talian bekalan elektrik. Kejadian ini mengukuhkan lagi keperluan penglibatan ahli geologi supaya Sabah lebih bersedia menghadapi masa hadapan.

 

Keperluan Kepakaran Geologi

Masalah bekalan air bersih seperti kemarau di Papar pada tahun 2024, kegagalan pembekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta kekurangan sumber air bagi sistem pengairan pertanian di Kota Belud menunjukkan keperluan mendesak keterlibatan ahli geologi dalam merangka dasar negeri.

 

Jika diperhalusi geomorfologi Sabah yang kaya dengan teluk dan pulau, penghasilan gabungan tenaga seperti solar terapung, angin, ombak malah teknologi penukaran perbezaan suhu antara air permukaan laut dan air laut dalam (OTEC) berpotensi untuk dilaksanakan.

 

Harapan penulis agar rakyat Sabah beroleh kemakmuran dalam masa hadapan yang penuh cabaran dengan bantuan kepakaran ahli geologi dalam pelbagai subbidang serta kerjasama rentas disiplin yang lain. Pilihan ada di tangan anda sebagai pengundi yang bijak. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA Ts. P.Geol. DR. MOHD HARIRI ARIFIN adalah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) di Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga Presiden Pertubuhan Geoterma Malaysia 2025/2026
bersama P.Geol. Adam Hashim, Presiden Institut Geologi Malaysia