Dalam era media sosial yang semakin pesat, ramai yang menggelarkan diri mereka sebagai “guru pelaburan” muncul di mana-mana – lengkap dengan tangkap layar keuntungan yang memukau serta janji-janji pulangan luar biasa yang kononnya mampu mengubah hidup.
Lebih membimbangkan, ada pula yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru gaya dan suara pelabur terkenal bagi menarik pengikut menyertai kumpulan pelaburan yang akhirnya membawa kepada kerugian kewangan yang besar.
Apa yang kelihatan seperti nasihat percuma sering kali mempunyai kos tersembunyi. Maka penting untuk mendekati kandungan sebegini dengan tahap skeptikal yang sihat.
Tujuan sebenar ramai "guru" ini bukanlah untuk membantu anda menjana kekayaan, tetapi untuk meraih keuntungan sendiri — kadangkala dengan mempergunakan kepercayaan pengikut mereka. Ramai yang telah terjerat, bukan sahaja orang awam malah juga golongan profesional.

Persoalannya, mengapa begitu ramai yang mudah terpedaya?
Ramai percaya bahawa pelaburan adalah sejenis "sihir" – kononnya jika jumpa mentor yang tepat, kekayaan akan datang dengan cepat. Malangnya, kepercayaan ini bukan sahaja tidak tepat, malah boleh membawa padah.
Hakikatnya, pelaburan sebenar adalah berasaskan prinsip pemeliharaan kekayaan. Ia bukan jalan pintas untuk jadi jutawan, tetapi ia mampu melindungi nilai kerja keras anda daripada dimakan inflasi.
Mengikut Rule of 72, jika kadar inflasi adalah 5%, nilai wang anda akan berkurang separuh dalam tempoh kurang 15 tahun jika anda tidak melabur. Justeru, pelaburan bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan.
Namun, waspadalah terhadap janji-janji "gandaan pulangan" atau skim cepat kaya yang sepatutnya membunyikan loceng amaran.
Kuasa sebenar pelaburan terletak pada faedah terkumpul – iaitu proses di mana keuntungan melahirkan lebih banyak keuntungan.
Warren Buffett, pelabur tersohor dunia, bukanlah berjaya kerana memiliki rahsia ghaib, sebaliknya beliau memahami dan mengamalkan prinsip kompaun sejak usia muda, serta memegang aset berkualiti tinggi dalam jangka panjang.
Menariknya, kekayaan beliau hanya benar-benar meledak selepas usia 65 tahun. Prinsipnya mudah, namun ramai enggan mengikutinya kerana tidak sabar untuk kaya secara perlahan.

Asas faedah kompaun bukan terletak pada pulangan tinggi, tetapi pada masa. Seperti perkembangan diri atau kerjaya, pembinaan kekayaan adalah satu proses berterusan. Tiada jalan pintas – hanya keputusan yang bijak dan konsisten.
Untuk mengelak daripada menjadi mangsa janji palsu, langkah pertama adalah perubahan minda: pelaburan bukan mengenai menyerang, tetapi bertahan. Tujuan utamanya bukan mengejar keuntungan melampau, sebaliknya melindungi kekayaan daripada hakisan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.
Ramai menyamakan pelaburan dengan "perdagangan saham" atau "spekulasi", namun itu satu kekeliruan. Pelaburan sebenar menekankan kestabilan, melalui perancangan aset dan pengurusan risiko yang baik.
Sebagai contoh, kadar inflasi rasmi Malaysia tahun lalu dijangka berada antara 2% hingga 3.5%. Namun, untuk pendekatan konservatif, kita boleh gandakan angka ini dan meletakkan sasaran pulangan sekitar 5% hingga 7% setahun. Sasaran sebegini sudah mencukupi, kerana pulangan lebih tinggi biasanya datang dengan risiko yang lebih besar.
Apabila kita melihat pelaburan sebagai bentuk pertahanan diri kewangan, kita akan lebih bersedia mengharungi pasaran yang mencabar. Daripada mengejar hype atau trend semasa, lebih baik kita bina kefahaman sendiri. Cara kita berfikir mempengaruhi tindakan kita, dan tindakan kita menentukan masa depan kewangan kita.
Ada yang berhempas pulas sepanjang hidup tetapi tidak ke mana, manakala ada yang tenang memerhati dan akhirnya menuai hasilnya.
Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang kedua – yang melabur secara bijak, berfikir secara kritikal, dan menjaga kekayaan yang kita kumpul dengan susah payah. - DagangNews.com








