Kutipan cukai amat penting bagi kerajaan dalam membangunkan negara, meningkatkan sektor kesihatan, pertanian, industri pembuatan, menyediakan pendidikan terbaik untuk anak bangsa, menaik taraf kemudahan awam, memberikan subsidi kepada rakyat, memperkukuh sistem pertahanan dan keselamatan negara, menjaga kebajikan serta membina infrastruktur berkualiti yang digunakan secara sama rata oleh semua penduduk.
Kutipan cukai di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung. Cukai langsung seperti cukai individu dan cukai syarikat diterajui oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), manakala cukai tidak langsung seperti cukai jualan dan cukai perkhidmatan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurut LHDN, kutipan cukai langsung meningkat dari tahun ke tahun dan ini menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat tentang betapa pentingnya cukai kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Kutipan cukai langsung meningkat daripada RM175.4 bilion pada tahun 2022, RM183.34 bilion pada tahun 2023 dan RM184.81 bilion pada tahun 2024. Jumlah ini mewakili 44% daripada hasil pendapatan negara pada tahun 2024.
Agenda kutipan cukai adalah suatu perkara yang dibincangkan setiap tahun dalam pembentangan belanjawan negara pada bulan Oktober. Hal ini amat penting kerana kutipan tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan kerajaan pada tahun berikutnya.

Teknologi Terkini dalam Percukaian di Malaysia
Namun begitu, peningkatan jumlah pendapatan ini memerlukan usaha keras daripada LHDN dan jabatan berkaitan bagi meningkatkan kesedaran rakyat.
Ketirisan kutipan cukai perlu dikurangkan bagi membolehkan lebih banyak hasil dikutip pada masa hadapan.
Kerajaan telah mengambil langkah awal yang seiring dengan negara maju lain seperti Australia dengan memperkenalkan Nombor Pengenalan Cukai (Tax Identification Number) kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas mulai 1 Januari 2022.
Jika rakyat masih belum mempunyai nombor cukai, mereka boleh mendaftar melalui sistem e-Daftar di MyTax ataupun portal Malaysia Corporate Identity (MyCoID).
Dengan adanya platform MyTax, sistem ini memudahkan pembayar cukai menguruskan percukaian mereka dengan lebih efisien berbanding beberapa tahun sebelumnya.
Papan pemuka (dashboard), pembayaran cukai, pemilihan borang yang diperlukan serta akses kepada senarai hitam ke luar negara yang disediakan dalam sistem tersebut menjadikannya pusat hentian tunggal untuk pembayar cukai tanpa perlu menggunakan platform lain.

Teknologi di hujung jari ini sepatutnya tidak lagi menjadi alasan kepada rakyat untuk melengahkan kewajipan mereka sebagai pembayar cukai yang patuh. Selain itu, pelaksanaan e-invois juga meningkatkan pematuhan percukaian dalam kalangan syarikat.
Kepatuhan biasanya dikaitkan dengan pengisian borang cukai, menghantar borang cukai sebelum tarikh akhir, membayar jumlah cukai yang ditetapkan, dan menyimpan dokumen yang diperlukan selama tujuh tahun.
Namun begitu, kadangkala agak sukar untuk pembayar cukai mematuhi proses ini kerana ia memerlukan tindakan sukarela daripada mereka.
Pematuhan dan Kesedaran Etika dalam Kalangan Pembayar Cukai
Pematuhan cukai dipandang serius oleh pihak LHDN. Banyak kes pelarian cukai dilaporkan dari semasa ke semasa yang melibatkan jumlah nilai yang tinggi.
Maka, sejauh mana pembayar cukai melaporkan hasil mereka dengan tepat masih menjadi isu yang dibincangkan di seluruh dunia, dan pihak berkuasa akan terus berusaha untuk mengurangkan jurang percukaian ini.

Antara inisiatif yang mungkin membantu adalah dengan memperkenalkan pendidikan etika dalam kalangan pelajar, supaya mereka mempunyai kesedaran awal tentang peranan pembayar cukai yang beretika pada masa hadapan.
Dalam Hala tuju 4 Program Perakaunan yang baharu bermula di beberapa universiti tempatan, aspek etika telah diberi penekanan dalam beberapa subjek termasuk subjek percukaian.
Hal ini penting kerana sebagai seorang akauntan pada masa hadapan yang akan membantu syarikat dalam urusan perakaunan dan percukaian, pelajar perlu mempelajari tentang etika lebih awal.
Mereka akan didedahkan dengan pelbagai kes bagi menguji tahap etika masing-masing. Tujuannya adalah untuk memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai nilai etika yang sewajarnya apabila memasuki alam kerjaya kelak.
Hasil Kajian Percukaian dan Etika di Universiti Tempatan
Hasil kajian mengenai adab dan etika daripada 224 responden dalam kalangan pelajar universiti tempatan baru-baru ini mendapati lebih 95% responden yang terdiri daripada pelajar sepenuh masa tempatan, pelajar antarabangsa dan pelajar separuh masa (hujung minggu) menyatakan bahawa mereka tidak akan bertoleransi terhadap penipuan atau pengubahsuaian maklumat yang diminta oleh saudara terdekat apabila pembayar cukai mahu menghantar borang percukaian kepada LHDN.
Selain itu, kebanyakan mereka berasa bimbang apabila menyedari adanya percanggahan maklumat yang diberikan oleh saudara mereka. Mereka juga berasa bertanggungjawab untuk membantu membetulkan maklumat yang tidak benar supaya pembayar cukai lebih beretika dalam penyampaian maklumat percukaian.
Diharapkan sikap ini berterusan sehingga mereka menamatkan pengajian dan menjadi pekerja yang beretika apabila berurusan dengan proses percukaian dalam dunia sebenar kelak. Hal ini penting kerana teknologi juga memudahkan pembayar cukai memanipulasi dokumen mereka bagi mengurangkan bayaran cukai.
Kita boleh melihat bahawa tidak semestinya apa yang diucapkan selari dengan apa yang dilaksanakan, lebih-lebih lagi apabila teknologi di hujung jari boleh digunakan untuk memanipulasi data dengan mudah.

Media Sosial Sebarkan Maklumat
Secara kesimpulannya, LHDN telah memperkenalkan platform dan teknologi yang lebih mesra rakyat serta memudahkan urusan tanpa perlu ke kaunter.
LHDN juga mula mendekati rakyat melalui penggunaan media sosial seperti TikTok, X, YouTube, Facebook dan Instagram, selain melantik pempengaruh sosial untuk menyebarkan ilmu mengenai percukaian kepada semua lapisan masyarakat.
Kesedaran dan etika rakyat dalam melaporkan hasil pendapatan sebenar amatlah penting bagi merealisasikan impian Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju dalam masa terdekat.
Dengan aplikasi MyTax yang boleh dimuat turun dengan mudah melalui Google Play Store dan Apple App Store, tiada lagi alasan untuk pembayar cukai melengahkan urusan percukaian mereka pada masa hadapan. - DagangNews.com
Dr. Soliha Sanusi merupakan Pensyarah Kanan dalam bidang perakaunan dan percukaian di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Tulisan ini disokong oleh Geran FRGS oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bernombor FRGS/1/2023/SS01/UKM/02/1








